Airasia fresh mahu berkembang di rantau ASEAN | DagangNews Skip to main content

Airasia fresh mahu berkembang di rantau ASEAN

 

 

KUALA LUMPUR 2 Feb. - AirAsia Group bercadang untuk mengembangkan perkhidmatan penghantaran barangan runcitnya, airasia fresh ke Pulau Pinang dan pasaran serantau yang lain di ASEAN, termasuk Jakarta dan Bangkok pada tahun ini, lapor Bernama.

 

Ketua airasia fresh, Maybel Chan berkata, syarikat merancang untuk menerima lebih ramai peniaga yang berwibawa dan dipercayai menyertai dan bekerjasama dengan AirAsia bagi merealisasikan pelan pengembangan ini.

 

Katanya, peniaga akan dapat meraih manfaat antaranya daripada pangkalan data pelanggan AirAsia sebanyak 75 juta orang di seluruh rantau ini dan sokongan pemasarannya yang kukuh untuk tujuan promosi.

 

“Kami bukan hanya di Malaysia, tetapi di seluruh rantau ini dan kami memberi tumpuan (hanya) kepada kategori segar. 

 

"Ini adalah bidang yang kami berpendapat terdapat peluang, justeru, seluruh infrastruktur dibina ke arah itu,” katanya pada sidang media dalam perkhidmatan e-dagang hari ini.

 

Dalam kenyataan, perkhidmatan airasia fresh menawarkan nilai hebat dan pelbagai pilihan bermula serendah RM30 untuk pek sayur-sayuran hingga pek makanan laut bersaiz besar berharga RM95 dengan pilihan sehingga 7 kilogram untuk makanan laut daripada 40 jenis. 

 

Selain itu, ia juga mempunyai sehingga 17 jenis buah-buahan seperti betik, kiwi dan lain-lain.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes berkata, syarikat menyasarkan untuk membantu peniaga mengekalkan perniagaan mereka dalam tempoh tidak menentu ini berikutan pandemik COVID-19.

 

Melalui airasia fresh, katanya, syarikat berhasrat untuk membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk mereka yang terjejas.

 

“Kami juga mempunyai ramai kakitangan AirAsia seperti kru kabin, juruterbang dan lain-lain yang telah menjadi sebahagian daripada Allstars Delivery Squad.

 

“Ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk memulihkan ekonomi tempatan berikutan 100 peratus daripada peniaga adalah syarikat Malaysia, dan antara senarai peniaga itu ialah Ourfarm, milik kami sendiri yang bekerjasama secara langsung dengan petani tempatan,” katanya.

 

Pada masa ini, airasia fresh mempunyai lebih 200 peniaga tempatan dengan lebih 3,000 produk dengan perkhidmatan penghantaran ke seluruh Lembah Klang.

 

Menurut Fernandes, airasia fresh kini menawarkan produk iaitu Fresh Pack dan pelanggan diberi pilihan dengan harga yang amat berpatutan selain pelbagai jenis produk segar untuk dipilih, dengan penghantaran percuma. - DagangNews.com