AirAsia: Kerugian, Penjenamaan Semua dan Masa Depan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 16 February 2022

AirAsia: Kerugian, Penjenamaan Semua dan Masa Depan

 

 

 

AirAsia telah mengumumkan penjenamaan semua syarikat itu minggu lalu. Nama AirAsia Group bertukar kepada Capital A.

 

Penjenamaan semula kumpulan syarikat penerbangan itu membawa perubahan AirAsia Aviation Limited (AAAL) kepada AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL) bagi mendepani cabaran masa hadapan.

 

Dengan penjenamaan semula ini, struktur baharu AAAGL akan menyelia semua syarikat penerbangan di bawah Capital A, selain menyokong AirAsia Consulting, perkhidmatan korporat bersama AirAsia SEA, rangkaian restoran makanan dan minuman Santan, dan penyedia perkhidmatan darat GTR.

 

Kenapa perlu tukar nama?

Perubahan nama ini sebenarnya telah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

 

Selain itu, perubahan nama AirAsia ini telah mendapat persetujuan dalam kalangan pemegang sahamnya. Satu Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) telah diadakan dan ia mendapat sokongan hampir kesemua pemegang saham dalam isu pertukaran nama ini.

 

Dengan penjenamaan semula AirAsia ini, saham atau sekuriti syarikat itu juga bertukar nama.

 

Jika dahulunya, saham syarikat ini dikenali sebagai AirAsia Group Berhad dan kini bertukar kepada Capital A Berhad.

 

Bursa Malaysia Securities Berhad telah membuat pengumuman rasmi berkaitan hal ini dan sekuriti syarikat itu dengan nama baharu diniaga di bawah singkatan CAPITALA.

 

Sekuriti hutang Islam “boleh tebus boleh tukar tidak bercagar” (RCUIDS) akan disebut sebagai CAPITALA-LA dan waran yang akan tamat pada 2028 sebagai CAPITALA-WA.

 

 

airasia
AirAsia asalnya diasaskan oleh konglomerat DRB-HICOM pada 1993.

 

 

Fakta Tentang AirAsia

  • AirAsia ditubuhkan pada 1993 dan mula beroperasi pada 18 November 1996.
  • Pada asalnya diasaskan oleh sebuah konglomerat kerajaan Malaysia, DRB-HICOM.
  • Pada 2 Disember 2001 syarikat penerbangan yang banyak berhutang telah dibeli oleh syarikat Tony Fernandes Tune Air Sdn Bhd, bekas eksekutif Time Warner untuk jumlah harga RM1 dengan hutang berjumlah AS$11 juta (RM40 juta).
  • Pada 2003, AirAsia membuka hab kedua mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru yang berdekatan Singapura dan melancarkan penerbangan antarabangsa pertama ke Bangkok.
  • Pada 23 Mac 2006, Terminal penerbangan tambang rendah (LCCT) yang dibuka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur  dijadikan pusat operasi baru bagi AirAsia.

 

Kesinambungan Hidup Industri Penerbangan

Seperti yang kita sedia maklum, 2 tahun negara dilanda pandemik COVID-19, industri pelancongan yang mengalami kerugian melebihi RM90 bilion ini turut mengheret syarikat penerbangan mengalami kerugian sama.

 

Walaupun AirAsia telah melakukan langkah-langkah pembendungan kos termasuk saiz tenaga kerja dan pemotongan gaji bagi pengurusan, kakitangan dan pengarah dan  menguruskan kapasitinya secara aktif agar selaras dengan permintaan mengikut segmen penerbangan, ia tetap belum mampu untuk “memberi nafas” kepada AirAsia.

 

AirAsia tidak boleh berdiam diri sahaja. Penjenamaan semula syarikat ini dilihat sebagai satu langkah yang tepat dan berani.

 

 

Tony
Tony Fernandes di hadapan pesawat pertama AirAsia setelah mengambil alih syarikat itu dari DRB-Hicom.

 

 

Kerugian AirAsia

Pada suku tahun ketiga 2021 yang lalu sahaja, AirAsia Group Berhad mencatat kerugian sebanyak RM 887 juta. Kerugian ini meningkat sebanyak RM 35.2 juta daripada suku yang sama pada tahun 2020 iaitu kerugian pada jumlah RM 851.78 juta.

 

Dua tahun ini, AirAsia Group Berhad mencatat kerugian yang besar akibat sekatan penerbangan terutamanya penerbangan Malaysia-Indonesia yang melibatkan hampir 70%-80% daripada jumlah penumpang bagi penerbangan itu.

 

Syarikat bersekutu syarikat penerbangan itu, Thai AirAsia (TAA) juga mencatatkan jumlah  hasil yang lebih rendah sebanyak 457.5 juta baht Thai (100 baht Thai = RM12.93) (Nota: Berdasarkan pertukaran semasa) untuk suku ketiga 2021 berbanding 2,403.2 juta baht yang dicatatkan dalam suku ketiga 2020 kerana TAA kekal dalam hibernasi dalam tempoh tersebut.

 

Turut menerima nasib yang sama, Airasia Super App juga mencatatkan pendapatan negatif sebelum faedah, cukai, susut nilai, dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM79.2 juta untuk suku ketiga 202.

 

Tetapi ada yang tersalah faham, walaupun AirAsia Super App dijangka menjadi “penyelamat” kepada AirAsia tetapi kenapa rugi juga.

 

Hal ini sebenarnya adalah kerana kos yang dikeluarkan oleh AirAsia sebagai kos pelaburan bagi mempercepatkan pengembangan ekosistem dan pembangunan teknologi untuk platform penghantaran makanan serta carian yang disatukan.

 

 

airasia
AirAsia Super App dijangka menjadi “penyelamat” kepada AirAsia

 

 

Sinergi Bantu Kelestarian AirAsia

Dalam ekonomi melalui proses pemulihan ini, AirAsia tidak boleh berdian diri sahaja. Sudah sampai masanya AirAsia “mengubah laluan” fokus utama perniagaannya yang dahulu ialah industri penerbangan kepada perniagaan yang boleh membantu kelestarian syarikat ini.

 

Syarikat ini perlukan sinergi untuk memperkasakan kembali kedudukannya sebagai antara syarikat yang berpotensi bagi pelabur untuk melabur.

 

Kini, AirAsia boleh memberi fokus kepada “cabang perniagaan” AirAsia Super App kerana menerusi data semasa, syarikat ini mempunyai lebih 50 juta pelawat bulanan.

 

AirAsia Super App juga telah diiktiraf sebagai sebuah syarikat unicorn teknologi dalam masa tempoh 2 tahun ini berdasarkan pencapaiannya.

 

Selain itu, dengan penjenamaan semula ini, syarikat ini juga bakal memberi fokus kepada cabang perniagaan seperti logistik menerusi Teleport dan kejuruteraan pesawat menerusi Asia Digital Engineering (ADE).

 

Walaupun telah “mengubah laluan” AirAsia perlu meneruskan operasi syarikat penerbangannya yang telah membina nama AirAsia.

 

AsiaAsia perlu mengurangkan kos dengan ketara dan terus beroperasi di satu daripada pangkalan kos terendah di dunia.

 

Apa yang AirAsia boleh lakukan kini dengan kembali memberi fokus kepada penerbangan domestik dalam pasaran Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina sebelum memberi fokus kepada laluan lain yang utama seperti sebelum ini.

 

Kini, dengan pemulihan sektor pelancongan akan membawa “pulih bersama” industri penerbangan.

 

 

airasia

 

 

Transformasi Pantas Daripada Penerbangan Kepada Gaya Hidup Digital

Dalam mendepani cabaran semasa, AirAsia telah pantas mentransformasi syarikat itu daripada sebuah syarikat penerbangan menjadi entiti pengembaraan dan gaya hidup digital.

 

AirAsia telah menjadi syarikat penerbangan pertama yang memperkenalkan teknologi pengecaman wajah untuk platform perjalanan dan gaya hidup digital.

 

AirAsia telah melancarkan FACES pada airasia Super App yang merupakan revolusi bersepadu untuk penyelesaian pembayaran terkemuka dalam industri sejajar dengan tawaran nilai hebat dalam perjalanan, gaya hidup dan teknologi kewangan.

 

Sistem yang dilancarkan itu menjadikan semua tawaran yang tersedia di airasia Super App, termasuk penerbangan, hotel, tempahan makanan, penghantaran, e-panggilan dan banyak lagi, lebih lancar dan mudah dengan hanya imbasan wajah.

 

Perlu Lembaga Pengarah Bebas

Bagi terus mengukuhkan kedudukan AirAsia, sudah sampai masanya, AirAsia melantik Ahli Lembaga Bebas dalam syarikat mereka.

 

Dengan penjenamaan semula ini, pembentukan lembaga pengarah baharu yang terdiri daripada semua pengarah bebas perlu dilaksanakan yang berasingan daripada lembaga pengarah Capital A.

 

Pelantikan boleh dilakukan dalam kalangan kumpulan profesional terkemuka dan mereka yang terdiri daripada mana-mana tokoh industri terbaik daripada pelbagai industri dan kemahiran yang berlainan untuk saling melengkapi bagi menyokong pertumbuhan syarikat yang mampan.

 

Terdahulu, syarikat ini telah melantik Tan Sri Jamaludin Ibrahim sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif, dan dengan pelantikan ini dijangka akan memberikan perspektif dan kepimpinan baharu yang lebih mantap dalam menyokong pertumbuhan strategik perniagaan itu.

 

 

airasia

 

 

Sentuhan Ajaib Tony Fernandes

Dengan penjenamaan semua dan lantikan Ahli Lembaga Pengarah Bebas demi pembangunan mampan syarikat ini, pastinya AirAsia masih mengharapkan “sentuhan ajaib” Tony untuk membangunkan semula syarikat ini.

 

Pastinya sejarah menjadikan AirAsia sebagai penerbangan bertarif rendah terbesar di dunia membawa pengalaman yang boleh digunakan Tony dalam menghadapi situasi semasa.

 

Tony juga dijangka mampu mengatur strategi pemulihan dan pertumbuhan kumpulan penerbangan itu dengan menggabungkan semua operasi syarikat penerbangannya di bawah satu entiti untuk memfokuskan pengembangan perniagaan dalam ekosistem yang lebih besar.

 

Moga ada sinar yang lebih baik bagi AirAsia @ Capital A di masa hadapan! – DagangNews.com

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah seorang pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.
 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

Portfolio Tags