Skip to main content

AirAsia kini diklasifikasikan PN17, rayuan ditolak Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR 14 Jan - AirAsia Group Bhd telah gagal dalam usahanya mendapatkan lanjutan bagi langkah-langkah pelepasan daripada Bursa Malaysia dan kini diklasifikasikan syarikat bermasalah atau Amalan Nota 17 (PN17).

 

Menurut syarikat penerbangan tambang murah itu, permohonan telah dikemukakan kepada Bursa untuk melanjutkan tempoh pelepasan itu selepas 7 Januari 2022 dan rayuan susulan keputusan Bursa Malaysia terhadap permohonan itu.

 

“Berdasarkan pertimbangan kepada seluruh fakta dan keadaan termasuk representasi bertulis dan dokumen yang diberikan kepada Bursa Malaysia, bursa saham telah memutuskan untuk menolak rayuan itu,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Sebelum ini kumpulan itu dikehendaki menilai semula keadaannya semasa berakhirnya tempoh pelepasan menurut pekeliling Bursa mengenai Langkah Pelepasan Tambahan pada 16 April 2020 dan 17 Februari 2021.

 

Langkah pelepasan tambahan telah diumumkan pada pada 16 April 2020 dan menurut Bursa Malaysia syarikat yang mencetuskan sebarang kriteria yang digantung antara 17 April 2020 dan 30 Jun 2021 tidak akan diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 atau GN3 untuk tempoh 12 bulan.

 

Ia bertujuan memberikan fleksibiliti yang lebih besar kepada syarikat tersenarai yang terjejas untuk memberi tumpuan dalam mengekalkan perniagaan dan operasi di samping menguruskan kedudukan kewangan mereka.

 

''Pengumuman selanjutnya mengenai perkara ini akan dibuat dalam masa terdekat,'' kata syarikat itu. - DagangNews.com