AirAsia kumpul modal untuk perniagaan digital kumpulan syarikat | DagangNews Skip to main content

AirAsia kumpul modal untuk perniagaan digital kumpulan syarikat

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Syarikat penerbangan Kumpulan AirAsia Berhad (AirAsia) ‘mengintai’ usaha pengumpulan modal bagi cabang perniagaan digital yang dijenamakan semula, AirAsia Digital.

Perkara itu diberitahu Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, tanpa mendedahkan jumlahnya. 

“Ia boleh jadi hutang boleh tukar (convertible debt) atau ekuiti.

 

Tony Fernandes
Tony Fernandes

 

“Kami baru sahaja memulakan proses itu, kami tidak perlu banyak,” katanya seperti dipetik theedgemarkets.

Tambah Tony, AirAsia Digital ketika ini dibangunkan dengan modal syarikat.

“Kami bangunkan semua ini menggunakan modal sendiri setakat ini, seperti mana AirAsia dibangunkan. Kami akan lihat … Kami mempunyai beberapa modal hutang akan masuk dan diperuntukkan bagi sebahagian perniagaan syarikat, seperti Teleport dan Santan, yang akan diumumkan kelak,” jelasnya.

Dalam pada itu, AirAsia Digital dijangka mempelbagaikan hasil kumpulan syarikat dan merupakan inisiatif yang bermula dua tahun lalu sebelum penularan COVID-19.

Mengulas mengenai perniagaan utama kumpulan syarikat, beliau percaya ia akan beroperasi semula setelah sempadan dibuka dan berharap berlaku segera.

 

Datuk Kamarudin Meranun
Kamarudin Meranun

 

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun tidak melihat perniagaan digital itu mampu mengimbangi kekurangan perolehan syarikat, sebaliknya, dapat mengurangkan impaknya untuk syarikat terus bertahan.

“Saya tidak fikir apa-apa pun dapat mengimbangi kekurangan perolehan memandangkan kami memulakan perniagaan digital ini dari bawah.

“Harap-harap, ia dapat mengurangkan impak dihadapi. Apabila pasaran telah dibuka, aktiviti penerbangan akan kembali normal. 

“Seterusnya, perniagaan digital ini dapat dikembangkan dan menjadi perniagaan utama lain. Ia boleh menjadi sebesar perniagaan penerbangan kami,” kata beliau. - DagangNews.com