airasia money lancar Pasaran Kewangan | DagangNews Skip to main content

airasia money lancar Pasaran Kewangan

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengasas Ringgitplus,  Yuen Tuck Siew (dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif airasia super app, Karen Chan; Ketua airasia money, Mohamad Hafidz dan Ketua Komersial  Ringgitplus, Hann Liew pada majlis pelancaran airasia money di KL Sentral hari ini.

 

 

 

KUALA LUMPUR 23 April - Airasia terus meneroka dan mengembangkan perkhidmatan teknologi kewangannya dengan melancarkan Pasaran Kewangan oleh airasia money.

 

Ketua Pegawai Eksekutif airasia Group, Tan Sri Tony Fernandes berkata, Pasaran Kewangan yang tersedia di dalam airasia super app akan menjadi pusat sehenti bagi semua keperluan kewangan untuk para pelanggan bermula di Malaysia. 

 

Katanya, ia kemudiannya diikuti negara-negara ASEAN lain termasuk Indonesia pada suku kedua ini diikuti Filipina (suku ketiga) dan Thailand (suku keempat).

 

"Kami telah menceburi industri teknologi kewangan pada 2018 dengan BigPay, dan kami berhasrat untuk terus berinovasi dan kekal relevan dalam pasaran ini dengan memperkenalkan airasia money untuk mendorong para pelanggan ke arah kebebasan kewangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Diintegrasikan menerusi airasia super app, Pasaran Kewangan oleh airasia money ini merupakan perkhidmatan yang menawarkan produk kewangan berpatutan dan komprehensif kepada para pelanggan. 

 

Ia memberi fokus kepada keperluan semasa dan berharap untuk menyediakan penyelesaian kewangan, kesedaran dan pendidikan. 

 

Para pelanggan boleh mengakses platform ini untuk mendapatkan berita terkini mengenai kewangan peribadi, maklumat, panduan dan membuat pilihan terbaik bagi keperluan segera mereka.

 

Pasaran Kewangan oleh airasia money kini menawarkan aplikasi kad kredit dan pinjaman peribadi bersama rakan kongsinya, Ringgitplus. 

 

Ia juga akan membuat perbandingan terhadap produk dan penyelesaian kewangan lain termasuk insurans, pelaburan, kesedaran dan pendidikan kewangan, pembayaran serta produk dan perkhidmatan kewangan Islam.

 

Sementara itu, Ketua airasia money, Mohamad Hafidz berkata, airasia money bertanggungjawab menyediakan teknologi dan inovasi pembayaran bagi airasia Group dan memastikan pengalaman pembayaran lancar serta menjadikan pembayaran atas talian lebih mudah. 

 

Katanya, ciri-ciri ini adalah keupayaan teras dalam penyelesaian dan penawaran digital airasia money. 

 

"Pasaran Kewangan adalah tawaran produk teknologi kewangan baharu yang tersedia di airasia super app yang memberikan semua pelanggan kami pelbagai penyelesaian kewangan yang menyeluruh dan mudah. 

 

"Dengan kerjasama strategik seperti RinggitPlus, kami menyediakan platform yang selamat dan penyelesaian berasaskan keperluan setiap individu," katanya. - DagangNews.com