AirAsia pecah rekod jualan, lebih 41,000 kerusi dijual dalam sehari | DagangNews Skip to main content

AirAsia pecah rekod jualan, lebih 41,000 kerusi dijual dalam sehari

AirAsia Cabin Crew

SEPANG 25 Jun - AirAsia Bhd memecahkan rekod jualan harian tertinggi dengan catatan 41,000 kerusi terjual dalam masa sehari selepas tempoh `hibernasi’ tamat bagi seluruh kumpulannya berikutan Covid-19.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, perkembangan positif  itu menjadikan syarikatnya lebih bersemangat dan permintaan tersebut dijangka akan berterusan.

“Purata muatan penumpang bagi Kumpulan AirAsia sebanyak 50% dan AirAsia Malaysia pula mencatat rekod kepada 70%. Ia merupakan rekod tertinggi bagi muatan penumpang semalam selepas tempoh hibernasinya.

“Produk inovasi terbaharu kami di Malaysia seperti Pas Tanpa Had AirAsia Cuti-Cuti Malaysia yang bertujuan untuk mempromosikan pelancongan domestik telah habis dijual dengan pantas. Produk ini juga akan dilancarkan di negara-negara lain tidak lama lagi,” katanya seperti dipetik AirAsia Newsroom, hari ini.

Katanya, AirAsia akan terus memainkan peranan memacu industri pelancongan negara dengan kerjasama terus bersama hotel-hotel tempatan bagi menawarkan pakej yang mudah dengan nilai terbaik melalui platform tempahan kombo penerbangan dan hotel (SNAP).

“Kami juga akan meneruskan visi untuk membawa semua orang terbang dengan harga tambang berpatutan. Dan kini, kami menawarkan promosi diskaun 20% untuk semua tempat duduk dan penerbangan di Malaysia.

“Kami merancang untuk meningkatkan kekerapan penerbangan sebanyak 50% daripada operasi sebelum Covid-19 dan kami tidak sabar untuk terbang ke semua laluan domestik pada minggu dan bulan akan datang untuk memenuhi peningkatan permintaan,” tambahnya lagi.

Syarikat penerbangan itu juga mencatat peningkatan trafik pelawat di lawan web AirAsia sebanyak 170%. Beberapa laluan popular mula ditempah termasuk laluan Kota Kinabalu dan Kuching ke Kuala Lumpur untuk Malaysia, Bangkok ke Chiang Mai dan Hat Yai untuk Thailand; Manila ke Puerto Princesa untuk Filipina; Delhi ke Srinagar dan Bengaluru ke Hyderabad untuk India serta Jakarta ke Denpasar dan Medan untuk laluan Indonesia.

Sehingga kini, AirAsia mengendalikan 152 penerbangan  setiap hari dan berharap agar sempadan antarabangsa dibuka semula bagi memulakan dan memulihkan aktiviti ekonomi di peringkat global.