AirAsia perkenal empat laluan domestik baharu, hubung tiga bandar besar Sarawak | DagangNews Skip to main content

AirAsia perkenal empat laluan domestik baharu, hubung tiga bandar besar Sarawak

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
mohdzulfadli@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Jan - AirAsia Malaysia (kod penerbangan AK) mengumumkan pelancaran empat laluan domestik baharu, termasuk penerbangan menghubungkan tiga bandar besar di Sarawak bermula dengan kadar tambang sehala serendah RM99.

 

Laluan baharu berkenaan meliputi penerbangan dari Kuching ke Langkawi, Johor Bahru ke Bintulu, Pulau Pinang ke Sibu, selain Kota Kinabalu, Sabah ke Kuala Terengganu.

 


Laluan baharu Kuching ke Langkawi telah beroperasi sejak 5 Januari lalu dengan kekerapan penerbangan setiap Rabu dan Ahad, manakala Johor Bahru ke Bintulu akan beroperasi pada 28 Januari ini dengan kekerapan setiap Jumaat, dengan tambang sehala bermula RM119.

 

Penerbangan dari Pulau Pinang ke Sibu akan bermula 27 Januari dengan kekerapan setiap Khamis dan Sabtu dengan tambang sehala bermula RM139, manakala penerbangan Kota Kinabalu akan beroperasi bermula 30 Januari dengan kekerapan penerbangan setiap Ahad, dengan tambang sehala bermula daripada RM159.

 


Sempena pelancaran laluan baharu ini, para tetamu boleh mendapatkan tawaran penerbangan dan hotel bernilai hebat dengan menekan ikon 'SNAP' di airasia Super App bermula daripada RM239 dari sekarang hingga 16 Januari untuk tempoh perjalanan dari 25 Januari hingga 30 Jun 2022. 

 

 

airasia

 

 

Mereka yang ingin menempah penginapan secara berasingan boleh menekan ikon ‘Hotels’ untuk menikmati diskaun tambahan 10 peratus dengan kod promosi 'AAHOTEL10'.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, laluan baharu ini akan mengukuhkan lagi rangkaian pelancongan mereka di negara ini, selain menyediakan lebih banyak pilihan untuk pelancong antarabangsa melancong antara negeri.


 
“Memandangkan musim perayaan bakal tiba tidak lama lagi, AirAsia berbesar hati dan bersedia sepenuhnya untuk menawarkan tetamu kami lebih banyak laluan ke bandar-bandar utama di Malaysia. Kami berharap dapat meneruskan usaha untuk meneroka lebih banyak laluan baharu dari lapangan terbang di Malaysia ke destinasi lain di rangkaian ASEAN kami. 

 

"Daripada segi operasi, kami telah bersedia dengan protokol kesihatan dan keselamatan ketat yang dikuatkuasakan dalam semua penerbangan kami dengan kru kabin terlatih yang terus memberikan perkhidmatan terbaik bertaraf dunia dalam masa pandemik ini.” katanya dalam kenyataan hari ini.  

 

AirAsia telah memanfaatkan tempoh sekatan perjalanan selama 20 bulan yang lalu untuk menaik taraf dan memperbaharui prosedur penerbangannya demi keselamatan dan kesejahteraan para tetamu dan kakitangannya. 

 

airasia

 

 

AirAsia hanya akan menerima tetamu yang telah divaksin sepenuhnya dalam penerbangannya dan memastikan semua penerbangan dikendalikan juruterbang dan kru kabin yang telah divaksin sepenuhnya, begitu juga dengan kakitangan operasi dan pengendali bagasi di terminal. 

 

Selain itu, AirAsia menjaminkan standard keselamatan tertinggi, seiring dengan rancangan mitigasi COVID-19 yang hanya menerima tetamu yang telah divaksin sepenuhnya dalam penerbangan, mewajibkan proses daftar masuk secara kendiri melalui airasia Super App dan melancarkan sistem pengecaman wajah, menjadikan keseluruhan pengalaman perjalanan secara digital.

 

Walaupun AirAsia hanya menyediakan perkhidmatan terhad selama 20 bulan lalu, semua pesawat AirAsia diselenggara sepenuhnya mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak pengeluar pesawat. 

 

AirAsia juga telah menubuhkan unit penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO) dalaman iaitu Asia Digital Engineering yang mampu menyelenggara bukan sahaja pesawat AirAsia tetapi juga pesawat dari syarikat penerbangan lain. 

 

Selain itu, semua juruterbang dan kru kabinnya juga diberikan latihan dan kursus penyegaran agar mereka sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan terbaik. - DagangNews.com