AirAsia terima Anugerah Syarikat Tambang Murah Terbaik Dunia buat tahun ke-9 berturut-turut | DagangNews Skip to main content

AirAsia terima Anugerah Syarikat Tambang Murah Terbaik Dunia buat tahun ke-9 berturut-turut

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Dis - AirAsia terus mencipta sejarah tersendiri apabila menerima Anugerah Syarikat Tambang Murah Terbaik Dunia untuk tahun kesembilan berturut-turut dan Kru Kabin Syarikat Tambang Murah Terbaik Dunia untuk tahun kelima berturut-turut di World Travel Awards (WTA) 2021.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Limited, Bo Lingam berkata, kejayaan itu berjaya melengkapkan tahun yang amat mencabar buat syarikat dan ia merupakan pengiktirafan yang sangat bermakna kepada mereka. 

 

“Walaupun kami tidak dapat terbang lebih kerap buat masa ini, kami berterima kasih kepada penganjur WTA, 600 juta tetamu kami, pemain industri dan yang paling penting, para Allstars (kakitangan) atas dedikasi dan komitmen mereka dalam mengharungi tahun yang mencabar ini. 

 

“Keadaan menjadi semakin baik selepas pembukaan sekatan perjalanan dunia secara beransur-ansur yang dijayakan oleh program vaksinasi, pendidikan, gelembung perjalanan dan pasport kesihatan global.

 

"Kami telah memanfaatkan tempoh sekatan perjalanan selama 20 bulan yang lalu untuk menaik taraf dan memperbaharui prosedur penerbangan untuk menjadikannya bukan sahaja selamat dan berpatutan, malah lebih bersih dan tanpa sentuhan sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, Ketua Kru Kabin AirAsia Group, Suhaila Hassan berkata, pihaknya berbesar hati untuk menerima anugerah itu sekali lagi dan akan terus berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan pada masa akan datang.   

 

"Disebalik cabaran besar dalam industri penerbangan sepanjang tahun ini, AirAsia terus menumpukan perhatian untuk menawarkan kecemerlangan perkhidmatan pelanggan," katanya.

 

Dalam pada itu, Pengasas WTA, Graham E. Cooke berkata, walaupun berdepan pelbagai cabaran AirAsia tetap menerima jumlah undian tertinggi dan ia menunjukkan sokongan pelanggan terhadap jenama mereka. 

 

"Tahniah diucapkan kepada AirAsia atas kejayaan itu. Mereka berusaha untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan sepanjang tahun 2021 dan saya turut berbesar hati kerana usaha mereka diiktiraf oleh pelanggan," katanya. - DagangNews.com