AirAsia X pinda pengurangan terbitan modal ekuiti, MIDF positif | DagangNews Skip to main content

AirAsia X pinda pengurangan terbitan modal ekuiti, MIDF positif

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Dis. - AirAsia X Berhad berhasrat untuk mengurangkan terbitan modal saham daripada 90% kepada 99.9%. 

 

Ini menyaksikan pengurangan kira-kira RM1,532.51 juta kepada RM1.53 juta nilai terbitan saham.

 

Jelas AirAsia X, kredit yang wujud daripada pengurangan terbitan modal saham itu akan digunakan untuk mengimbangi sebahagian daripada kerugian keseluruhan. 

 

“Penyatuan saham yang dicadangkan akan dilaksanakan berikutan cadangan pengurangan modal saham tidak akan berubah, iaitu penyatuan setiap 10 saham AirAsia X sedia ada menjadi satu saham AirAsia X,” kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan malam tadi. 

 

Selain mengumumkan hasrat berkenaan, AirAsia X turut mencadangkan untuk mengutip sehingga RM500 juta sebagai langkah menjana semula modal syarikat penerbangan itu untuk terus bertahan. 

 

Langkah itu terdiri daripada terbitan hak bernilai RM300 juta dari pemegang saham sedia ada dan pembelian saham sehingga RM200 juta daripada pelabur baharu. 

 

Jelas AirAsia X, langkah kutipan dana ekuiti itu merupakan komponen penting bagi rancangan penstrukturan dan jana semula modal syarikat yang diumumkan sebelum ini untuk menyokong pelan perniagaannya. 

 

“Bagaimanapun, AirAsia X perlu memperoleh kelulusan daripada kreditor terlebih dahulu bagi skim penstrukturan hutang. Beberapa pemajak telah campur tangan dalam proses penstrukturan semula untuk menyatakan tentangan mereka terhadap skim itu. 

 

AirAsia X ingin mengulangi bahawa skim penstrukturan semula hutang adalah prasyarat untuk permodalan semula syarikat oleh pelabur sedia ada dan baharu serta penstrukturan semula komprehensif diperlukan untuk menyediakan platform dalam membina semula dan pemacu yang cukup menarik untuk pelaburan,” kata AirAsia X. 

 

Baca : Penstrukturan hutang, kutipan dana ‘talian hayat’ AirAsia X

 

Dalam nota kajian MIDF Research yang dikeluarkan hari ini, firma penyelidik itu positif terhadap langkah luar biasa oleh AirAsia X untuk memastikan operasinya terus bertahan. 

 

Bagaimanapun, sekiranya langkah itu gagal, AirAsia X mungkin perlu membubarkan syarikat. 

 

“Kami percaya situasi luar biasa memerlukan langkah yang luar biasa. 

 

“Memandangkan AirAsia X berada dalam keadaan meruncing, cadangan berani lain ke atas kutipan dana dan pindaan untuk kurangkan saham dapat ‘menyembuh penyakit’ syarikat,” kata MIDF. 

 

MIDF mengekalkan saranan ‘jual’ saham AirAsia X dengan sasaran harga (TP) tidak berubah kepada RM0.05. - DagangNews.com