Akaun Zest-i Maybank Islamic kini boleh dibuka dalam talian | DagangNews Skip to main content

Akaun Zest-i Maybank Islamic kini boleh dibuka dalam talian

Pelanggan Maybank Islamic bertuah, Suresh Kumar Penumasta memenangi sebuah kereta Proton X50 1.5T Premium pada cabutan hadiah Zest-i untuk suku pertama 2021.

 

 

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Maybank Islamic Berhad baru-baru ini memperkenalkan penyelesaian digital kepada pelanggan yang ingin membuka akaun baharu Zest-i melalui platform Maybank2U.

 

Akaun pelaburan Zest-i Maybank Islamic mempunyai ciri istimewa cabutan hadiah sepanjang tahun dengan memberi peluang kepada pelanggan untuk memenangi hadiah-hadiah menarik dengan nilai keseluruhan hampir RM2 juta.

 

Sejak dilancarkan 2 tahun lalu, akaun pelaburan yang juga pertama seumpamanya ditawarkan dalam Kumpulan Maybank ini bertujuan untuk memberikan manfaat yang lebih baik dan nilai unik kepada pelanggan.

 

Maybank Islamic berkata, bersesuaian dengan keadaan semasa, penyelesaian digital ini memberi kemudahan kepada pelanggan untuk membuka akaun pelaburan Zest-i dari mana sahaja, selain menjimatkan masa, lebih selamat dan mesra alam.

 

"Proses pembukaan akaun Zest-i melalui Maybank2u ini lebih mudah, pantas dan lancar selaras dengan misi Kumpulan Maybank untuk menginsankan perkhidmatan kewangan dengan menjadikan kemudahan perbankan dapat diakses oleh semua pelanggan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Maybank Islamic terus komited dalam menambah baik mutu dan capaian perkhidmatan perbankan kepada para pelanggan seiring dengan perkembangan digital dan bagi mengurangkan interaksi bersemuka di seluruh kaunter cawangan Maybank berikutan penularan wabak COVID-19.

 

Akaun Zest-i terbuka untuk semua pelanggan baharu dan sedia ada Maybank Islamic termasuk pemegang Akaun Individu, Akaun Bersama dan Akaun Amanah. 

 

Ia juga layak dipohon oleh warga asing yang mempunyai pas bekerja atau pelajar yang sah.

 

Tahun ini, Maybank Islamic menawarkan hadiah yang menarik sepanjang tahun kepada pelanggan yang bertuah, antaranya adalah MacBook Air, iPhone 12, Proton X50, wang tunai, pelaburan emas 10 gram dan 30 gram serta hadiah utama berupa pelaburan emas bernilai 1kg melalui Maybank Islamic Gold Account (MIGA-i).

 

Untuk mengambil bahagian, pelanggan perlu membuka akaun pelaburan Zest-i secara dalam talian dengan nilai minimum sebanyak RM50. 

 

Pelaburan seterusnya adalah minimum RM200 untuk kelayakan mereka memenangi hadiah bulanan, RM300 untuk hadiah suku tahunan dan RM400 untuk hadiah setengah tahun serta RM500 untuk cabutan hadiah utama.

 

Tawaran hadiah ini menggunakan mekanisme cabutan bertuah berdasarkan jumlah penyertaan yang diperoleh di bawah 4 kategori tersebut. - DagangNews.com