Akibat COVID-19, hasil negeri Kedah terjejas hampir RM100 juta | DagangNews Skip to main content

Akibat COVID-19, hasil negeri Kedah terjejas hampir RM100 juta

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor bercakap dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, hari ini. - Gambar DAGANGNEWS.COM
 

 


Oleh EMIR MUKMIN
editor@dagangnews.com

 


ALOR SETAR 28 Okt. - Kutipan hasil kerajaan negeri pada tahun ini berkurang hampir RM100 juta berbanding unjuran ditetapkan dalam Bajet Kedah 2020.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pengurangan kutipan hasil itu berpunca daripada cabaran semasa ekoran penularan COVID-19 di seluruh dunia.

"Pendapatan negeri agak terjejas malah kita jangkakan ancaman COVID-19 akan terus memberi kesan kepada ekonomi pada 2021.

"Maka Bajet Kedah 2021 yang akan bentangkan pada 15 November depan bakal memberi tumpuan untuk mengaktifkan sektor ekonomi serta memaksimumkan kutipan hasil," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Bajet Kedah 2020 yang dibentangkan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir pada Oktober tahun lalu, menganggarkan kutipan hasil sebanyak RM701.94 juta.

Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, pembentangan Bajet 2021 yang akan dibentangkannya nanti akan mengambil tema bersandarkan slogan kerajaan negeri iaitu 'Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua,'.

"Oleh kerana kita hendak memaksimumkan kutipan hasil, maka saya seru syarikat dan individu perseorangan yang berkaitan, supaya menjelaskan bayaran kepada kerajaan sama ada pada tahun ini atau tahun depan.

"Selain itu insya Allah limpahan hasil daripada projek-projek besar seperti pembinaan lima loji rawatan air yang bermula pada Disember serta Januari tahun depan, akan memberi kitaran ekonomi positif dalam pelbagai sektor dari segi pekerjaan dan sebagainya," katanya.

Sementara itu katanya, langkah penjimatan yang diambil terhadap anak syarikat kerajaan negeri, Syarikat Air Darul Aman (SADA) Sdn. Bhd. sejak Mei lalu, mula membuahkan hasil dengan syarikat utiliti tersebut kian memiliki keupayaan untuk membayar semula hutang-hutangnya.

"Sejak kita ambil alih pentadbiran negeri pada Mei 2020, didapati audit bagi tahun 2017 hingga Mei 2020 menunjukkan SADA menanggung hutang sebanyak RM147 juta. Jika kita tak perbetulkan keadaan, maka syarikat ini akan masuk 'perigi'.

"Maka kita mengambil beberapa langkah antaranya mengurangkan kos operasi dengan membatalkan lantikan kontraktor tidak diperlukan. 

"Keadaan itu membantu kita menyelesaikan hutang sebanyak RM79 juta, dengan yang terkini hutang SADA hanya tinggal RM68 juta," katanya.

Tambahnya, beliau menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk menyelesaikan hutang kritikal menjelang Disember tahun ini, selain sasaran supaya SADA kembali mencatatkan keuntungan pada tahun depan. - DagangNews.com