Akibat pandemik COVID-19, Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia jatuh 2.1% tahun lalu | DagangNews Skip to main content

Akibat pandemik COVID-19, Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia jatuh 2.1% tahun lalu

 

 


KUALA LUMPUR 1 Dis - Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) bagi 2020 menurun 2.1% kepada 118.3 mata berbanding 120.8 mata pada 2019, disebabkan pandemik COVID-19. 

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, secara keseluruhan, prestasi IKRM tahun lalu menunjukkan hampir kesemua komponen kesejahteraan terkesan dengan penularan wabak tersebut.

 

"Sepanjang tahun lalu, landskap sosioekonomi negara mengalami momentum yang tidak menentu berikutan krisis kesihatan dan ekonomi.

 

"Penemuan IKRM menggambarkan hampir kesemua komponen berdepan cabaran dalam menangani impak pandemik ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

IKRM dibangunkan untuk mengukur tahap kesejahteraan rakyat Malaysia daripada perspektif ekonomi dan sosial. Ia meliputi 2 subkomposit iaitu kesejahteraan ekonomi dan kesejahteraan sosial.

 

Kedua-dua subkomposit kesejahteraan menunjukkan penurunan pada 2020. Subkomposit kesejahteraan ekonomi merekodkan penurunan 3.4% pada 2020 kepada 126.2 mata manakala subkomposit kesejahteraan sosial pula menurun 1.2% kepada 114.0 mata pada tempoh yang sama.

 

Melihat kepada dapatan mengikut indeks subkomposit pula, bagi indeks subkomposit ekonomi, didapati komponen pendapatan dan pengagihan menurun 9.7% diikuti pengangkutan
(-7.4%) dan komunikasi (-0.4%). 

 

Pada masa sama, kesemua komponen dalam indeks subkomposit sosial pula turut menurun.

 

Komponen kebudayaan menurun 16.1% diikuti hiburan dan rekreasi (-15.7%), tadbir urus (-0.9%) dan keluarga (-0.4%). 

 

Namun begitu, komponen keselamatan awam meningkat 10.9%, diikuti kesihatan (5.6%) dan alam sekitar (2.7%).

 

Berdasarkan mata indeks pula, analisis kesejahteraan ekonomi menunjukkan komponen pendidikan mencatatkan indeks tertinggi iaitu 132.2 mata indeks pada 2020, diikuti komponen komunikasi (130.0 mata indeks) dan pengangkutan (127.7 mata indeks). 

 

Dari segi kesejahteraan sosial, komponen keselamatan awam merekodkan indeks tertinggi iaitu 140.4 mata indeks, diikuti penyertaan sosial (121.7 mata indeks) dan perumahan (120.5 mata indeks). 

 

Indeks Kebudayaan berada di bawah 100.0 mata indeks pada 2020 manakala Indeks Keluarga berada di bawah 100.0 mata indeks bagi kedua-dua tahun. - DagangNews.com