Skip to main content
DagangNews.com
Kolum WAINUIOMATA - 4 February 2021

Aktif gerakan Reformasi 1999, TV3 buang kerja

 

 

 

SAYA berjalan balik pejabat dengan fikiran yang mula tidak tentu arah. Apatah lagi perasaan yang bercampur baur. Saya tidak tahu apa hendak buat walaupun sibuk dengan panggilan.

 

 

Tidak pernah mengalami insiden yang mengharubirukan di negeri orang. Setelah Arab Saudi, saya berhijrah ke Dubai dan kejadian ini pula mengganggu. Mungkin Tuhan mahu menguji di sebalik apa terjadi.

 

Saya termenung di pejabat.

 

BACA : Gergawi tanya : Are you on the take?

 

Teringat apabila dibuang kerja dari TV3 pada hari akhir tahun 1999. Saya tahu saya akan dibuang kerja oleh TV3 pada suatu ketika. Ketika itu sudah enam bulan dengan jawatan pengurus besar tanpa jawatan. Hanya diberi, “Pengurus Besar, Tugas-Tugas Khas.

 

Pada mulanya ada wartawan, lima orang melaporkan diri kepada saya yang tidak tahu tugas apa sebenarnya. Saya biarkan mereka seperti saya, masuk pukul 8 balik pukul 5 petang setiap hari.

 

 

wainouimata

 

 

Seorang pun tidak duduk di pejabat dan mereka semua berhenti meninggalkan saya seorang.

 

Kami berbual pada permulaan dan kemudian tidak tahu apa nak buat lagi. Saya menempah kesemua akhbar dan ada dua buah TV di bilik saya yang besar. Saya ada setiausaha yang kemudian berhenti kerana jemu tiada kerja.

 

Saya disuruh berhenti sahaja. Namun saya tetap datang bekerja sambil mencari kerja dengan laptop.

 

Saya telah dipanggil temuduga oleh banyak syarikat tetapi saya berniat untuk bekerja di luar negeri. Pada waktu itu, ada SB (Special Branch) di TV3 yang selalu menyapa saya dan berkata tiada orang akan mengambil saya kerja kerana anti-kerajaan.

 

Ada panggilan dari MAS untuk bekerja di bahagian teknoloji maklumat tetapi gajinya rendah. Lagipun saya sudah bertaraf pengurus besar takkan masuk sebagai pengurus.

 

Saya sebenarnya terjebak dengan Reformasi pada tahun 1998 dan hampir setiap minggu berdemonstrasi. Pergi ke rumah Anwar Ibrahim pada waktu malam.

 

 

wainouimata

 

 

Saya juga berkempen di Kuala Rompin bawah tiket Pas dengan mengadakan ceramah di kampung-kampung.

 

Saya turut bercakap di pentas-pentas politik. Saya adalah bekas pemidato terbaik Pahang sewaktu sekolah dan kesempatan itu saya gunakan untuk berucap.

 

Saya tidak pernah berkempen tetapi PRU tahun itu saya habiskan masa dengan berkempen di Kuala Rompin.

 

Pernah saya hendak bercakap di sebuah kampung yang boleh sampai hanya dengan motorsikal di daerah Rompin. Ada beberapa batang sungai terpaksa kami redah. Tidak ingat di mana kampung itu.

 

Setelah dua jam saya tiba di kampung itu dan saya menangis melihat daifnya orang tinggal di kawasan itu. Yang saya tahu hutan tebal dengan kegelapan mengiringi. Hujan pula menambah dingin kebasahan.

 

Gangster tunggu tepi jalan

Setelah balik kami terpaksa menanti di tengah perjalanan kerana ada gangster sedang menunggu kami. Gangster yang dihantar untuk memukul kami yang menentang calon PRU. Saya tidak tahu bagaimana gangster itu, menurut cerita ada lima orang dalam kereta. Kawan-kawan saling berinteraksi melalui telefon.

 

Setelah subuh kami balik semula ke Kuala Rompin dengan ketakutan, tetapi gangster itu sudah balik.

 

Saya berucap dengan pengenalan sebagai wakil TV3 dan bercakap dengan aura kepimpinan. Dari satu tempat ke tempat yang lain. Saya tahu ada SB di antara yang hadir tetapi saya tidak peduli apa akan jadi. Semangat saya sudah jitu untuk mengubah keadaan dimana politik begitu kotor dari pandangan saya. Saya mula menulis dalam akhbar Harakah hampir setiap minggu.

 

Ada editor akhbar harian yang memanggil saya derhaka dan tidak berterima kasih kepada kerajaan yang memberi peluang untuk saya menulis. Saya tidak kisah dan terus tidak menghantar karya kepada akhbar harian yang sentiasa menyokong kerajaan.

 

Setelah pilihan raya, saya ditukarkan kepada jabatan khas tanpa ada kerja. Waktu itu ramai yang dibuang dan ditukarkan. Saya tahu saya akan dibuang hanya menanti masa.

 

Begitulah cerita saya di TV3 sebelum ke Riyadh.

 

Pada hari itu, sekali lagi saya menghadapi pembuangan kerja kerana baik dengan bos.

 

Waktu petang Hamed tidak menelefon. Saya terkejut beliau mungkin tahu apa yang terjadi. Saya mahu menelefon tetapi tahu Hamed ada dua hari lagi di luar negara bercuti dan mungkin beliau sempat pulang.

 

wainouimata
              Hamed Kazim

 

Saya menanti sampai malam. Hamed tidak menelefon sampai sudah. Saya tidak tahu apakah beliau dihubungi Muhammad Gergawi.

 

BACA : Muhammad Gergawi panggil menghadap

 

Esoknya dua pekerja dari Sweden dan USA dibuang kerja serta-merta. Tinggal saya seorang. Bagaimana dengan SingTel, AT & T dan French Telecom? Saya sudah menyiapkan untuk mengambil AT&T sebagai rakan kongsi. Sudah siap untuk bertugas seperti biasa dan mencari pengganti sebagai setiausaha Hamed.

 

Panggilan Muhammad Gergawi pada petang semalam benar-benar menukar staf korporat Dubai Internet City dan saya tidak tahu nasib diri!

 

 

wainouimata

 

 

Mohd Fudzail Mohd Nor adalah Karyawan Tamu di UniSZA dan telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags