Skip to main content

Aktiviti penyeimbangan portfolio pengaruhi prestasi saham Takaful : HLIB Retail Research

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Okt. - Prestasi lemah saham Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful) baru-baru ini memberi peluang besar kepada pelabur untuk mengumpul saham-saham tersebut memandangkan prospek jangka panjang syarikat berkenaan tetap utuh.

 

HLIB Retail Research menjelaskan, saham-saham takaful kurang memberangsangkan akhir-akhir ini disebabkan aktiviti penyeimbangan portfolio dana berikutan pelaksanaan korporat Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB).

 

"Kami yakin harga saham mungkin akan meningkat apabila aktiviti penyeimbangan portfolio mulai reda.

 

"Walaupun kami menjangkakan pendapatan suku ketiga 2021 menjadi lebih lemah kerana sumbangan perolehan kasar yang lebih rendah disebabkan 'lockdown' baru-baru ini, portal penjualan dalam talian (OSP) kumpulan terus mendapat daya tarikan sejak separuh pertama tahun ini dan akan berfungsi sebagai pemangkin bagi mengurangkan kesan pengurangan pendapatannya," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Tambah HLIB Retail Research, pihaknya menjangkakan perniagaan keseluruhan akan meningkat suku terakhir tahun ini apabila pembukaan semula ekonomi mendapat daya tarikan. 

 

"Melangkah ke depan, kumpulan ini dijangka meneruskan inisiatif strategiknya untuk memperkuat daya tahan perniagaannya dan menyesuaikan model operasinya untuk memenuhi pasaran yang sangat berbeza dan persekitaran yang dinamik," katanya.

 

Tersenarai sejak 1996, kumpulan itu telah menjadi antara pengendali takaful terkemuka di Malaysia.

 

Ia menjalankan perniagaan takaful keluarga dan am serta mempunyai operasi di Indonesia. 

 

Saham takaful merosot 21% dari paras tertinggi RM5.08 (8 Mac) kepada RM 4.00 pada 18 Oktober. -DagangNews.com