Aktiviti pertanian Cameron Highlands kembali beroperasi seperti biasa | DagangNews Skip to main content

Aktiviti pertanian Cameron Highlands kembali beroperasi seperti biasa

Datuk Seri Ahmad Hamzah ketika membuat tinjauan kelangsungan operasi sektor pertanian di Tanah Rata Cameron Highlands semalam.

Datuk Seri Ahmad Hamzah (tengah) ketika membuat tinjauan kelangsungan operasi sektor pertanian di Tanah Rata Cameron Highlands semalam.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 21 Jun - Setelah dihimpit isu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), aktiviti pertanian di kawasan Cameron Highlands kini kembali beroperasi seperti biasa.

 

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, aktiviti berkenaan kembali beroperasi dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

 

"Didapati juga aktiviti pengangkutan lori buah-buahan dan sayur-sayuran yang melalui sekatan jalan raya (SJR) juga berjalan seperti biasa.

 

"Bermula 1 hingga 17 Jun 2021, DOA (Jabatan Pertanian Negeri Pahang) telah mengeluarkan sebanyak 1172 surat kebenaran keterlibatan dalam sektor pertanian kepada petani dan usahawan tani khususnya di daerah Cameron Highlands," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika membuat tinjauan kelangsungan operasi sektor pertanian di Tanah Rata Cameron Highlands semalam.

 

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Haji Mohd Nasir Warris; Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin bin Yang Razalli dan Pengarah jabatan dan agensi MAFI di Pahang.

 

Tinjauan tersebut bertujuan untuk melihat sendiri operasi di lapangan dan juga pergerakan lori-lori yang membawa bekalan sayur-sayuran melalui sekatan jalanraya bagi semua sektor pertanian yang dilaporkan terjejas apabila beberapa kawasan dan lokasi pertanian dikenakan PKPD.

 

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan berkaitan kebenaran kepada semua sektor pertanian untuk beroperasi semula walaupun berada dalam kawasan yang terlibat PKPD.

 

Dalam pada itu, agensi MAFI seperti FAMA sentiasa bekerjasama dengan persatuan-persatuan penanam sayur setempat bagi memastikan kelangsungan bekalan sayur negara. 

 

Sebanyak 75% bekalan sayur-sayuran dari Cameron Highlands diedar dan diagihkan setiap hari iaitu sebanyak 50% ke Kuala Lumpur, 16% ke Ipoh dan baki 9% ke pasaran tempatan yang lain.

 

Beliau memberitahu, FAMA juga turut membantu dari segi pengaturan pemasaran dengan mengedarkan hasil pertanian ke beberapa lokasi seperti di Lembah Klang, Kuala Terengganu, Tangkak, Alor Setar dan Jerantut.

 

"FAMA juga menyediakan kemudahan pusat penggredan dan penyimpanan bilik sejuk bagi menampung hasil pertanian. 

 

"Sehingga kini FAMA telah mengeluarkan 257 surat kebenaran kepada petani dan pengusaha di Cameron Highlands bagi memudahkan mereka meneruskan aktiviti pemasaran hasil pertanian," katanya lagi. - DagangNews.com