al-Ikhsan lancar jersi baharu Liverpool FC musim 2022/23 | DagangNews Skip to main content

al-Ikhsan lancar jersi baharu Liverpool FC musim 2022/23

Ahli kelab penyokong rasmi ALL REDS MALAYSIA bersama Dato Afdlin Shauki dan Zechariah Kent pada majlis pelancaran jersi baharu LFC 2022/23 di Petaling Jaya pada 19 Mei 2022.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

PETALING JAYA 20 Mei - Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd memperkenalkan jersi kelab bola sepak Liverpool (LFC) bagi musim 2022/23 di Football Republic, Sunway Piramid pada Khamis.

 

Sebagai syarikat yang mendapat lesen mengedarkan barangan kelab Liga Perdana Inggeris itu, Al-Ikhsan Sports juga menawarkan jersi-jersi itu di semua cawangannya di seluruh negara.

 

Pegawai Komunikasi Pemasaran Kanan Al-Ikhsan, Zechariah Kent berkata, pihaknya menawarkan dua jenis jersi iaitu jersi merah utama dan penjaga gol berwarna ungu, yang nampaknya menarik ramai peminat untuk memilikinya.

 

Menurut beliau, jersi merah Liverpool ditawarkan dalam dua jenis iaitu Nike Dri-FIT Stadium Home berharga RM299 sehelai dan versi Match Home Nike Dri-Fit ADV berharga RM515 sehelai.

 

Gimik pelancaran di Football Republic dimeriahkan dengan kehadiran selebriti Dato Afdlin Shauki yang dikenali antara artis tanahair yang merupakan penyokong kuat Liverpool FC dan pengulas sukan, Zainal Abidin Rawop, juga peminat Liverpool.

 

Al-Ikhsan juga mengadakan majlis menandatangani memperbaharui perjanjian tahunan dengan tiga kelab rasmi penyokong Liverpool iaitu KL Kopites, Kinabalu Reds dan All Reds Malaysia yang diwakili Presiden, Muzili Aznor Musa.

 

 

ARM
MUZILI Aznor Musa (tiga dari kiri) bersama Zechariah Kent menunjukkan perjanjian al-Ikhsan dengan ARM disaksikan oleh Dato Afdlin Shauki (kiri) di Petaling Jaya pada 19 Mei 2022. - Gambar DagangNews.com

 

 

Menerusi perjanjian ini, ahli-ahli berdaftar mana-mana kelab penyokong rasmi ini menikmati potongan diskaun 20% bagi barangan Liverpool dan mana-mana barangan sukan lain bila membeli-belah di kedai Al-Ikhsan di seluruh negara.

 

Penyokong-penyokong Liverpool yang turut sama memeriahkan majlis pelancaran jersi itu semalam, rata-ratanya teruja kerana bukan sahaja Liverpool sudah bergelar juara Piala Carabao dan FA dengan dua kali menumbangkan Chelsea di perlawanan akhir, kelab Anfield ini bakal ke final Piala Juara-Juara Eropah pada hujung bulan ini.

 

Namun perhatian lebih tinggi diberikan kepada perlawanan akhir EPL musim ini dengan Liverpool bertemu Wolverhampton, selain mengharapkan Aston Villa menewaskan Manchester City Ahad ini untuk bergelar juara EPL 2021/2022.

 

 

lfc

 

ARM

 

lfc

 

 

Kelab All Reds Malaysia akan sekali lagi mengadakan acara menonton perlawanan Liverpool dengan Real Madrid di Merseyside, Plaza Kelana Jaya yang sepak mulanya ialah jam 3 pagi pada 29 Mei 2022. DagangNews.com merupakan antara penaja acara ini. - DagangNews.com