Al Rajhi bekerjasama dengan firma teknologi Thought Machine bagi kuasakan bank digitalnya | DagangNews Skip to main content

Al Rajhi bekerjasama dengan firma teknologi Thought Machine bagi kuasakan bank digitalnya

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 26 Jan - Al Rajhi Bank Malaysia (Al Rajhi), anak syarikat milik penuh bank Islam terbesar di dunia berdasarkan aset, Al Rajhi Bank of the Kingdom of Saudi Arabia (KSA), telah memilih Thought Machine, firma teknologi perbankan teras asli awan, untuk menguasakan bank digital generasi akan datang mereka dan mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam perbankan Islam.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Al Rajhi, Arsalaan Ahmed berkata, Bank telah memulakan transformasi digital berbilang tahun pada 2021 dan akan menggunakan enjin perbankan teras Thought Machine, Vault, untuk melancarkan bank digital baharu pada tahun ini dengan rangkaian perkhidmatan kewangan runcit dan PKS yang canggih, seperti simpanan dan produk pembiayaan.

 

Ujarnya, reka bentuk unik platform Vault akan membolehkan Al Rajhi mencapai cita-cita mereka dan melancarkan bank generasi akan datang dengan penyelesaian hujung ke hujung. 

 

"Bank akan memanfaatkan enjin produk universal Vault untuk merekabentuk, melancarkan dan mengurus set lengkap produk pada satu seni bina yang jelas.

 

"Kami melancarkan bank digital tercanggih yang akan dibezakan oleh tahap inovasi yang tinggi, kemudahan pelanggan dan kebolehpercayaan. 

 

"Kami memanfaatkan potensi besar dalam teknologi yang ditawarkan oleh rakan kongsi utama kami untuk membantu memajukan visi kami untuk menjadi bank inovasi kewangan Islam #1 di Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambah beliau, Thought Machine telah menunjukkan bahawa perkhidmatannya yang sangat kompetitif disokong oleh teknologi dan kejuruteraan yang luar biasa. 

 

Ujarnya, Al Rajhi yakin perkongsiannya engan Thought Machine adalah keputusan strategik untuk masa hadapan kerana ia berhasrat untuk membina bank digital yang tiada tandingan dalam reka bentuk dan kebolehgunaannya. 

 

"Tambahan pula, Al Rajhi kini sedang membina rangkaian lengkap produk patuh Syariah dan keupayaa Vault akan memainkan peranan penting dan kritikal dalam membolehkan bank membina dan menawarkan perkhidmatan yang disesuaikan dengan keperluan individu pelanggan," katanya.

 

Thought Machine telah dipilih oleh beberapa bank runcit peringkat satu dan besar dan syarikat itu juga bekerjasama dengan fintech dan pencabar yang lebih kecil dan tangkas. Pelanggannya termasuk JPMorgan Chase, Lloyds Banking Group, Standard Chartered, ING Bank dan SEB. -DagangNews.com