Alipay lanjut kerjasama dengan UEFA, AntChain  | DagangNews Skip to main content

Alipay lanjut kerjasama dengan UEFA, AntChain 

 

 

KUALA LUMPUR 11 Jun – UEFA dan AntChain, unit perniagaan blok rantai Ant Group, mengumumkan kerjasama global selama lima tahun dalam teknologi blok rantai.

 

Kerjasama itu bagi meneroka potensi teknologi berkenaan dalam memacu transformasi digital bola sepak serta menaik taraf pengalaman peminat di seluruh dunia.

 

Menerusi perjanjian ini, AntChain akan menjadi rakan kerjasama blok rantai global rasmi UEFA EURO 2020. 

 

Ini merupakan kerjasama pertama seumpamanya untuk UEFA, yang turut memperkenalkan Trofi ‘Top Scorer’ kejohanan yang direka oleh Alipay, iaitu platform pembayaran dan gaya hidup digital terkemuka di dunia yang dikendalikan oleh Ant Group. 

 

Alipay merupakan rakan kerjasama global UEFA sejak November 2018.

 

Trofi ‘Top Scorer’ UEFA EURO 2020 merupakan trofi Penjaring Terbanyak antarabangsa yang menggunakan blok rantai dalam reka bentuknya buat julung kali. 

 

Ia akan menampilkan nilai cincangan (hash value) di pangkalannya, yang mana rekod penjaring gol kejohanan yang terbaik akan dimuat naik dan disimpan secara kekal pada blok rantai berdasarkan penyelesaian AntChain.

 

Reka bentuk trofi berkenaan mendapat ilham daripada perkataan pertama nama Cina Alipay, disebut ‘zhi’, yang bermaksud ‘sokongan’ serta ‘pembayaran’. 

 

Perkataan ini mencerminkan asal-usul Alipay yang wujud sejak 2004, yang pada mulanya ditubuhkan sebagai satu perkhidmatan escrow untuk mengatasi kekurangan keyakinan antara pembeli dan penjual dalam talian dengan memudahkan perdagangan dalam serta luar talian.

 

Guy-Laurent Epstein, Pengarah Pemasaran UEFA, berkata, ekoran kerjasama global selama lapan tahun antara UEFA dengan Alipay, pihaknya berbesar hati untuk berganding tangan dengan AntChain. 

 

"Pada tahun yang mencabar untuk industri sukan tradisional ini, kerjasama dengan AntChain mencerminkan tekad UEFA untuk memacu transformasi digitalnya dan sama-sama mencari penyelesaian untuk menaik taraf pengalaman peminat," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Presiden Kumpulan Perniagaan Teknologi Pintar, Ant Group, Geoff Jiang berkata, AntChain akan meneroka potensi teknologi inovatif termasuk blok rantai dalam membantu merancakkan perkembangan industri sukan dan transformasi digitalnya. 

 

"Kami juga akan berusaha menjadikan sukan global lebih inklusif dengan meningkatkan aksesnya kepada masyarakat yang terpinggir menerusi teknologi digital, agar lebih ramai orang di seluruh dunia berpeluang mengalami keceriaan bola sepak," ujar beliau.

 

Di samping itu, Alipay juga bakal melancarkan ‘Top Scorers in Campus’, iaitu sebuah program sokongan baharu dikhususkan untuk menyokong pembangunan kampus bola sepak di China. 

 

Bagi memberi inspirasi kepada lebih ramai remaja untuk mengejar impian bola sepak mereka, program ‘Top Scorers in Campus’ akan menganugerahkan trofi dengan reka bentuk yang serupa dengan Trofi ‘Top Scorer’ UEFA EURO 2020 kepada pemain-pemain yang paling cemerlang dalam kejohanan kampus bola speak di seluruh China.

 

Seperti Trofi ‘Top Scorer’ UEFA EURO 2020, rekod dan anugerah pemain-pemain bola sepak muda ini juga akan disimpan pada blok rantai yang disediakan oleh AntChain. - DagangNews.com