Aliran masuk asing meningkat lebih 2 kali kepada RM388.2 juta minggu lalu | DagangNews Skip to main content

Aliran masuk asing meningkat lebih 2 kali kepada RM388.2 juta minggu lalu

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Aliran masuk asing meningkat lebih 2 kali ganda pada minggu berakhir 5 Ogos 2022 kepada RM388.2 juta berbanding RM152.9 juta pada minggu sebelumnya. 

 

Laporan aliran dana mingguan MIDF Research menunjukkan pelabur asing hanya menjual ekuiti tempatan pada Selasa sebanyak RM40 juta, tetapi ia lebih daripada mengimbangi oleh aliran masuk bersih untuk baki hari dagangan.

 

Menurut firma itu, pelabur asing memulakan dagangan minggu lalu dengan membeli RM49.7 juta ekuiti tempatan dengan aliran masuk paling tinggi direkodkan pada Khamis sebanyak RM284.2 juta, paras yang kali terakhir dilihat pada Mei 2022. 

 

"Pada minggu lalu, ia menandakan minggu ketiga berturut-turut pelabur asing membeli ekuiti tempatan sebelum mengakhiri dagangan dengan pembelian RM19.3 juta," katanya dalam laporan itu hari ini.

 

Sementara itu, pelabur institusi tempatan kekal sebagai penjual bersih ekuiti buat minggu keempat berturut-turut sebanyak RM266.9 juta.

 

Ia meningkat hampir 4 kali ganda berbanding jualan bersih pada minggu lalu sebanyak RM70.7 juta.

 

"Pelabur institusi tempatan hanya membeli ekuiti pada Selasa sebanyak RM68.3 juta tetapi tidak mencukupi untuk memperlahankan aktiviti jualan sepanjang minggu. 

 

"Khamis pula menyaksikan jualan ekuiti paling tinggi sebanyak RM205.5 juta manakala Isnin sebanyak RM21.7 juta, Rabu (RM80.2 juta) dan Jumaat (RM27.7 juta)," katanya.

 

Bagi pelabur runcit pula, mereka masih kekal sebagai penjual bersih ekuiti buat minggu ketiga berturut-turut sebanyak RM121.4 juta. 

 

Aliran keluar paling tinggi direkodkan pada Khamis sebanyak RM78.7 juta manakala Isnin dan Selasa masing-masing sebanyak RM28 juta dan RM28.3 juta. 

 

"Tetapi, pelabur runcit membeli ekuiti pada Rabu sebanyak RM5.2 juta sebelum mengakhiri dagangan minggu lalu dengan pembeli pada RM8.5 juta," jelasnya.

 

MIDF Research berkata, dana antarabangsa setakat ini membeli ekuiti tempatan selama 20 daripada 31 minggu setakat ini dengan aliran masuk berjumlah RM6.65 bilion. 

 

Pelabur institusi tempatan sebaliknya sudah menjual RM8.23 bilion ekuiti selama 24 minggu diikuti pelabur runcit membeli ekuiti sebanyak RM1.57 bilion selama 19 minggu setakat ini.

 

Dari segi pergerakan pelabur, semua kategori menyaksikan peningkatan nilai purata dagangan harian, dengan pelabur runcit meningkat 11.4% diikuti pelabur institusi (3.7%) dan pelabur asing (5.7%). - DagangNews.com