Skip to main content

Alkisah Tedy Teow Wooi Huat `wanted' di Malaysia, China kini ditahan di Thailand

Teow Wooi Huat a.k.a Tedy Teow

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

 

PADA 22 Julai 2022, Polis Thailand mengumumkan penahanan Teow Wooi Huat  atau Tedy Teow atas dakwaan melakukan pengubahan wang haram.

 

Setelah diteliti, Tedy Teow bukan sembarangan `ahli perniagaan Malaysia’ yang ditahan di Thailand. Hikayatnya panjang! Dia juga diklasifikasi `orang yang dikehendaki’ atau ‘wanted’ oleh pihak berkuasa Malaysia dan China!

 

Penahanannya berlaku selepas beberapa ahli politik tempatan di wilayah Songkhla dan Nakhon Si Thammarat ditangkap kerana disyaki terlibat dalam sindiket perjudian dan polis Thailand berjaya mengaitkan mereka dengan Teow.

 

Mereka menangkapnya ketika dia cuba melarikan diri dari Thailand dengan bot nelayan yang tidak berdaftar.

 

Menurut polis Thailand, Teow dipercayai pembiaya utama kepada kumpulan perjudian dalam talian di negara itu.

 

Sebagai orang yang dikehendaki di China dan Malaysia, kedua-dua negara telah berusaha untuk mengekstradisi jutawan itu untuk menghadapi perbicaraan di mahkamah masing-masing.

 

 

tedy
Tedy Teow dibawa ke balai oleh anggota polis Thailand pada 22 Julai 2022. - Gambar The Bangkok Post 

 

 

Hikayat Tedy Teow

Teow telah menjadi tajuk berita berkali-kali dengan penglibatannya dalam pelbagai penipuan sejak 2008.

 

Beliau adalah watak utama dalam kegagalan francais Island Red Cafe dari 2008 hingga 2010 yang ternyata merupakan penipuan pelaburan.

 

Dia dan anak lelakinya masing-masing dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda berjumlah RM160,000 kerana penglibatan mereka dalam skim itu yang menggelapkan lebih RM1 juta wang pelabur.

 

Pada 2018, Teow menjadi perhatian sekali lagi apabila didenda RM3 juta kerana penglibatan syarikatnya, MBI International Sdn Bhd dalam syiling digital M Mall 020 yang disahkan oleh Bank Negara sebagai skim piramid.

 

Pihak berkuasa juga membekukan 91 akaun bank dengan RM177 juta yang dikaitkan dengan MBI Group International ketika itu.

 

MBI International

MBI mencipta `gelombang’ di Pulau Pinang dengan tawaran pulangan yang "menguntungkan" dan merupakan berita besar pada 2015.

 

Teow ketika itu merupakan pengarah Mface International Bhd dan MBI Marketing Sdn Bhd, dua syarikat di bawah kumpulan MBI.

 

Syarikat itu menubuhkan M Mall 020 di Jalan Datuk Keramat sebagai ibu pejabatnya. Pusat beli-belah itu mempunyai beberapa kedai serbaneka yang menjual losyen badan, produk syampu dan perdagangan am jenamanya sendiri.

 

 

M Mall 020
Pusat beli-belah M Mall 020 di Pulau Pinang.

 

Ahli boleh menggunakan mata wang digital yang dipanggil Mcoin untuk membeli dan menebus barangan daripada M Mall.

 

Syarikat itu juga melancarkan barisan telefon pintar MBI International sendiri ketika itu.

 

MBI juga mempunyai rangkaian hotel termasuk satu di Jalan Sultan Ahmad Shah dan restoran Cina di Jelutong. Ia juga mengendalikan perkhidmatan e-hailing yang dipanggil kereta MULA.

 

Populariti MBI melonjak dan terdapat projek pembangunan besar di sebelah Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang yang dipanggil Mpire Residences diumumkan kepada media. Ia tidak pernah menjadi kenyataan!

 

Syarikat itu melebarkan sayapnya ke Kedah dengan projek perumahan di Kulim bernama MBI Desaku.

 

 

mbi desaku
Taman perumahan MBI Desaku di Kulim, Kedah.

 

Teow menjadi `dermawan’ apabila dia menubuhkan MBI Charity 100, kononnya satu usaha tanggungjawab sosial oleh Kumpulan MBI untuk membantu golongan miskin dan memerlukan. Objektifnya adalah untuk mengadakan 999 acara amal setiap tahun.

 

Tetapi pada tahun 2017, dunia Teow runtuh. M Mall telah diserbu polis, manakala 91 akaun bank yang dikaitkan dengan MBI International dibekukan. Akaun itu mengandungi RM177 juta.

 

Teow kemudiannya menghadapi dua pertuduhan mengeluarkan instrumen pembayaran yang tidak diiktiraf. Pada 2018, dia didenda RM2.5 juta dan RM3 juta oleh Bank Negara kerana penyelewengan kewangan.

 

Akibat penipuan itu, ratusan warga China membuat bantahan di luar Kedutaan China di Kuala Lumpur dan ibu pejabat MBI meminta bantuan untuk mendapatkan semula berjuta-juta yang telah mereka curahkan sebagai pelaburan ke dalam MBI International.

 

mbi

 

Pelabur yang tidak berpuas hati menyerang salah seorang anak lelaki Teow di rumahnya dengan pisau dan membaling dua bom palsu di rumah itu selepas mereka melarikan diri.

 

Masalah terakhir bagi pihak berkuasa Malaysia datang pada 2021 ialah apabila polis menumpaskan sindiket besar Macau dan mengaitkannya dengan Teow dan dua anak lelakinya sebagai suspek utama mereka.

 

Menurut polis, sindiket itu akan meminta mangsa memindahkan wang ke akaun palsu yang kemudiannya akan disedut ke akaun lain.

 

Menurut polis lagi, sejumlah RM336 juta telah dicuri untuk dilaburkan dalam Bitcoin dan hartanah.

 

Escape to Danok

Sebelum penemuan ini, polis berkata bahawa Teow telah pun melarikan diri ke Danok di Thailand pada Januari 2020.

 

Di Thailand, Teow telah dituduh melakukan pengubahan wang haram atas hasil daripada usaha perjudian dalam talian yang ditubuhkannya di Danok.

 

MBI mempunyai aset di Danok, sebuah bandar yang pernah berkembang pesat, yang kekayaan ekonominya berubah menjadi sendu semasa kemuncak wabak COVID-19.

 

mbi
MBI Resort di Danok, selatan Thailand

 

Media Thai telah melaporkan bahawa pihak berkuasa di sana menyerbu dua hotel MBI di Danok sebelum memanggil Teow ke ibu pejabat polis daerah untuk disoal siasat.

 

Akhbar Bangkok Post memetik Surachate Hakparn, pembantu ketua polis negara, sebagai berkata bahawa Teow didakwa melakukan pengubahan wang haram berhubung perjudian dalam talian di selatan Thailand.

 

Setakat ini, belum ada laporan terbaharu mengenai kedudukan Teow sama ada masih di Thailand atau diekstradisi.

 

Ini menunjukkan hikayat Tedy Teow tidak akan berakhir begitu cepat daripada yang ramai sangkakan. Ada sesiapa hendak buat filem? - DagangNews.com

 

 

 

Johardy Ibrahim adalah Editor DagangNews.com dengan 30 tahun pengalaman dalam kewartawanan. Merrepak adalah kolum pojok beliau setiap minggu - pertama kali diperkenalkan di Mingguan Malaysia pada 2009 yang menyentuh mengenai apa sahaja isu mencuit jiwa minda seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu The Reason oleh Hoobastank berulang-ulang kali.