Alliance Bank mudahkan proses pendaftaran bantuan pelepasan pembayaran | DagangNews Skip to main content

Alliance Bank mudahkan proses pendaftaran bantuan pelepasan pembayaran

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Joel Kornreich

 

 

KUALA LUMPUR 22 Jun - Alliance Bank melanjutkan bantuan pelepasan pembayaran kepada pelanggan dengan menggunakan cara yang inovatif bagi membolehkan mereka mendaftar dengan mudah.

 

Pelanggan boleh memilih pakej bantuan pelepasan pembayaran mereka dengan mudah sama ada melalui telefon atau dengan membalas SMS atau mesej WhatsApp yang dihantar oleh bank. 

 

Pelanggan juga boleh mendapatkan jawapan kepada pertanyaan mereka tentang bantuan pelepasan pembayaran dengan cepat melalui akaun perniagaan WhatsApp Bank. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Joel Kornreich berkata, sehingga kini, bank telah menyediakan pakej Bantuan Pelepasan Pembayaran bernilai RM6 bilion dan hampir RM840 juta untuk melanjutkan moratorium bagi pelanggan perniagaan dan individu. 

 

Secara keseluruhan, katanya, dianggarkan 15% daripada pelanggan bank yang meminjam telah menyertai program bantuan pelepasan pembayaran. 

 

“Dengan sekatan sektor ekonomi yang dihadapi sekarang, kami menyeru para pelanggan yang menghadapi kesulitan kewangan untuk menghubungi kami secepat mungkin untuk membincangkan tentang pakej bantuan yang sesuai.

 

“Kami juga secara aktif menghubungi pelanggan yang sedang menyertai pakej bantuan pelepasan pembayaran sedia ada dengan kami (dan akan tamat tidak lama lagi) untuk membincangkan tentang keadaan kewangan mereka bagi memohon penyusunan semula dan lanjutan tempoh pembayaran yang mungkin diperlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Alliance Bank memberi jaminan kepada para pelanggan bahawa rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) mereka tidak akan terjejas jika mereka memohon bantuan pelepasan pembayaran sebelum 31 Disember 2021.

 

Menurut Joel, bank juga meneruskan usaha untuk menghubungi para pelanggan melalui pelbagai platform seperti laman web korporat dan saluran media sosial untuk memberitahu mereka tentang pilihan bantuan pelepasan pembayaran yang disediakan. 

 

"Kami turut mempromosikan Bantuan Pelepasan Pembayaran melalui papan-papan iklan jalan raya di 25 buah lokasi utama di Lembah Klang serta papan iklan digital yang melibatkan 12 buah pusat membeli-belah dan 25 buah stesen minyak," tambahnya.

 

Selain Bantuan Pelepasan Pembayaran yang ditawarkan oleh bank-bank, kerajaan juga turut menyediakan pelbagai dana bagi membantu pelanggan perniagaan berdepan dengan cabaran pandemik. 

 

Alliance Bank terus menyediakan kemudahan membuat permohonan untuk pelbagai skim sokongan ekonomi kerajaan. 

 

Jelas beliau, Alliance Bank telah mengagihkan lebih RM600 juta Dana Kemudahan Bantuan Khas Bank Negara Malaysia bagi membantu PKS dan tambahan RM120 juta lagi melalui Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar Bank Negara Malaysia (BNM).

 

Selain itu, katanya, bank turut mengagihkan lebih RM800,000 bagi membantu para usahawan mikro dan komuniti rentan yang terjejas menerusi SocioBiz, platform pengumpulan dana sosial Alliance Bank.

 

“Kami akan terus menyediakan kemudahan untuk membuat permohonan bagi mendapatkan dana bantuan kerajaan seperti Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar, Kemudahan Usahawan Mikro dan Kemudahan Teknologi Tinggi bagi pihak para pelanggan kami,” jelasnya. - DagangNews.com