Alliance Islamic sasar RM100 juta bantu usahawan teroka industri halal  | DagangNews Skip to main content

Alliance Islamic sasar RM100 juta bantu usahawan teroka industri halal 

 

 

KUALA LUMPUR 8 April - Alliance Islamic Bank Berhad menyasarkan untuk menyediakan pembiayaan berjumlah RM100 juta bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerokai pasaran halal di peringkat global. 

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rizal IL-Ehzan Fadil Azim, pasaran global halal ketika ini bernilai AS$3 trilion dan merupakan antara pasaran paling pantas berkembang di dunia. 

 

Katanya, produk dan perkhidmatan halal bukan sahaja mendapat permintaan tinggi dalam kalangan muslim tetapi juga bagi bukan muslim menjadikan peluangnya terbuka luas. 

 

"Jadi, adalah penting bagi syarikat tempatan mengembangkan usaha dan sayap mereka terutama dengan transformasi digital dan inovasi untuk memasuki pasaran halal ini," katanya dalam kenyataan. 

 

 

Rizal IL-Ehzan Fadil Azim
Rizal IL-Ehzan Fadil Azim

 

 

Bagi merealisasikan matlamat tersebut, Alliance Islamic hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan eJazmine, Fusionex dan Institut Penyelidikan Halal Antarabangsa (Inhart) bagi mengukuhkan program Halal in One. 

 

Kerjasama strategik ini akan diperluas dengan menyediakan lebih banyak pilihan digitalisasi, program latihan dan platform e-dagang tambahan.

 

Setiap rakan kerjasama bagi program ini akan menawarkan nilai yang unik bagi membantu perniagaan berkembang dalam pasaran halal.

 

Platform e-dagang, eJazmine akan menyediakan tawaran menarik bagi perniagaan yang mahu memasuki akses pasaran seperti Amerika Syarikat, Arab Saudi, Indonesi dan China.

 

Bagi Fusionex pula, ia membantu dari segi penyelesaian digital supaya usahawan berada dalam talian, menyenaraikan perniagaan menerusi platform e-dagang dan menggunakan analisis bagi meningkatkan pertumbuhan perniagaan.

 

Inhart, di bawah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia turut menawarkan program latihan khusus untuk mendidik usahawan mengenai pematuhan syariah dan menyediakan perkhidmatan halal audit kepada perniagaan yang mahu melangkah ke pasaran asing.

 

Sehubungan itu, Rizal mengharapkan kerjasama antara Alliance Islamic dengan rakan strategik ini dapat sama-sama membantu membantu PKS berkembang dalam pasaran halal. 

 

"Kami mempunyai aspirasi untuk muncul sebagai Pusat Kecemerlangan Industri Halal dan menyumbang kepada Malaysia dengan menjadi hab global halal," katanya. - DagangNews.com