Allianz General, Bateriku.com jalin kerjasama strategik tawar insurans kepada golongan B40 | DagangNews Skip to main content

Allianz General, Bateriku.com jalin kerjasama strategik tawar insurans kepada golongan B40

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 April - Alianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad (Allianz General) telah bekerjasama dengan Bateriku (M) Sdn. Bhd. (Bateriku.com) bagi menawarkan 'Allianz PerlindunganKu' untuk kumpulan komuniti B40 yang berdaftar dengan Bateriku.com.

 

Kolaborasi tersebut akan membolehkan Bateriku.com, Penyedia Bantuan Tepi Jalan Berhubung (CRAS) di Malaysia, bekerjasama sebagai ejen Allianz General untuk menawarkan Allianz PerlindunganKu oleh Allianz General dibawah Perlindungan Tenang oleh kerajaan, sebuah inisiatif insurans mampu milik.

 

Pelanggan Bateriku.com yang sedia ada dan baharu yang layak akan digalakkan untuk menggunakan baucar mereka untuk membeli Allianz PerlindunganKu menggunakan Baucar Perlindungan Tenang (BPT), yang merupakan sebuah inisiatif kerajaan untuk meringankan beban kewangan untuk komuniti B40 jika berlaku kecederaan akibat kemalangan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Sean Wang berkata, sepanjang dua tahun ini, masih ramai rakyat Malaysia tiada perlindungan insurans. 

 

“Dengan nilai Bateriku.com dan komitmen teguh kepada pelanggan dan rakan niaga mereka, kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan mereka dalam memacu inisiatif ini bagi melindungi segmen B40. 

 

"Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat menjangkau bahagian segmen yang lebih besar bukan hanya untuk menawarkan mereka penyelesaian insurans tetapi pada masa yang sama untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan perlindungan dan menggalakkan mereka untuk mendapatkan perlindungan yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku (M) Sdn Bhd, Azarol Faizi Zakaria Ansari pula berkata, kini Bateriku.com telah berkhidmat kepada lebih sejuta pelanggan di seluruh negara.

 

 

allianz
(Dari kiri) Ketua Pembangunan Rangkaian Bateriku.com, Muhsin Sabri; Azarol Faizi Zakaria Ansari, Sean Wang dan Timbalan Ketua Pegawai Jualan Am Allianz, Sazali Abdul Rahman ketika majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di Menara Allianz Sentral, hari ini.

 

 

"Ini telah direalisasikan oleh model berdasarkan permintaan kami yang didorong oleh kemampuan teknologi mereka, pusat hubungan 24/7/365, lebih daripada 100 buah kedai dan ekosistem inklusif kami.

 

“Kami sangat teruja menerusi kerjasama dengan Allianz General ini untuk menyediakan perkhidmatan dengan nilai tambahan untuk bukan sahaja pelanggan sedia ada tetapi juga bakal pelanggan kami, serta petugas barisan hadapan kami di Semenanjung dan Malaysia Timur. 

 

"Sebagai penyedia Bantuan Tepi Jalan Berhubung yang terbesar, kami harus selalu mencari cara untuk melindungi petugas barisan hadapan kami:Bhero, BPreneur dan BBuddy," katanya. - DagangNews.com