Allianz General lantik 170 bengkel kereta | DagangNews Skip to main content

Allianz General lantik 170 bengkel kereta

Oleh YEO LI SHIAN

lishian@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR, 27 Okt. - Sebanyak 170 buah bengkel kereta baharu dilantik sebagai Panel Bengkel Kereta Bertauliah Allianz berkuatkuasa 1 Oktober lalu selepas syarikat insurans terkemuka, Allianz General Insurance (Malaysia) Berhad (Allianz General) melakukan rombakan di seluruh negara baru-baru ini. 

Pemilihan panel bengkel kereta bagi Skim Pembaikan yang diiktiraf oleh Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) itu dibuat menerusi tender terbuka yang berlangsung pada bulan Ogos lalu.

Menurut Ketua Tuntutan Allianz General, Damian Williams, sebanyak 40 peratus daripada panel ini terdiri daripada bengkel-bengkel kereta baharu yang diyakini dapat memenuhi keperluan perkhidmatan pelanggan mengikut piawaian yang ditetapkan oleh syarikat.

Allianz Road Rangers

Panel Bengkel Kereta Bertauliah Allianz perlu mematuhi ketetapan piawaian tertinggi dari semua segi termasuk penggunaan alat ganti asli, kualiti kerja pembaikan, kecemerlangan perkhidmatan yang diberikan serta sentiasa mengutamakan keselamatan kenderaan yang diperbaiki selepas tuntutan kemalangan dibuat bagi pemegang polisi Allianz Motor Komprehensif. 

"Sebagai penanggung insurans, Allianz General sentiasa komited untuk memberi nilai tambah dalam perkhidmatan kami bagi memenuhi keperluan semua pelanggan kami," kata Williams dalam satu kenyataan hari ini.

Panel bengkel kereta Allianz General berfungsi sebagai sebahagian daripada Allianz Road Rangers, yang menawarkan perkhidmatan kemalangan 24 jam.  

Williams menambah, Allianz Road Rangers yang diperkenalkan sejak tahun 2017 telah membantu lebih 240,000 pelanggan di seluruh negara setakat bulan Jun lalu.

Selain menepati piawaian yang ditetapkan oleh syarikat, panel bengkel kereta Allianz General juga diiktiraf oleh PIAM dan turut menawarkan perkhidmatan tambahan kepada pelanggan seperti perkhidmatan bantuan tepi jalan dan kemalangan, tawaran tempoh jaminan dan perkhidmatan penghantaran kenderaan. 

Perkhidmatan Allianz Road Rangers yang hadir dengan pelbagai kemudahan termasuk talian bantuan 24 jam, pasukan Allianz Road Rangers, bantuan tuntutan, baucar e-hailing dan kelulusan tuntutan ekspres ini terbuka kepada semua pemegang polisi Motor Komprehensif Allianz General (kenderaan persendirian) dan boleh dihubungi pada talian 1-800-22-5542. - DagangNews.com