Allianz Life, Pos Malaysia perkenal pelan insurans mampu milik | DagangNews Skip to main content

Allianz Life, Pos Malaysia perkenal pelan insurans mampu milik

 Allianz Life, Pos Malaysia perkenal pelan insurans mampu milik

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Allianz Life Insurance Malaysia Berhad (Allianz Life) bersama Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) memperkenalkan pelan insurans hayat yang mampu milik dan mudah diakses iaitu Pos LifeCare untuk rakyat Malaysia ketika pandemik COVID-19.

 

Pelan tersebut memberi perlindungan untuk kematian dan manfaat untuk hilang upaya kekal dan menyeluruh (TPD) dengan manfaat tambahan untuk kematian akibat kemalangan atau TPD, serta kematian akibat jangkitan denggi dan COVID-19.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Life, Joseph Gross berkata, kerjasama itu bertujuan untuk menyediakan pelan perlindungan hayat untuk semua rakyat Malaysia di kawasan bandar dan luar bandar.

 

Joseph Gross
Joseph Gross 

 

"Pos Malaysia telah menghubungkan individu dan perniagaan selama lebih dari 200 tahun. Ia mempunyai jaringan pengiriman dan titik sentuh terbesar di negara ini, yang akan memperluaskan jangkauan kami.

 

"Pos LifeCare adalah pelan asas yang akan ditawarkan kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 hingga 70 tahun yang menjejakkan kaki ke cawangan Pos Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pelan tersebut turut menawarkan manfaat tunai hospital sekiranya pemegang polisi dimasukkan ke hospital kerana demam denggi. 

 

Ia adalah sebuah produk insurans hayat bertempoh berkelompok tanpa penyertaan yang boleh diperbaharui secara tahunan di bawah Polisi Induk Pos Malaysia.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Pos, Mohamed Rozaidi Md. Sharif berkata, pihaknya berbangga dapat bekerjasama dengan Allianz Life dalam menyediakan pelan insurans hayat yang berpatutan untuk rakyat Malaysia, dengan menawarkan premium dari harga serendah RM0.14 sehari.

 

"Kami berharap agar dapat memanfaatkan kepakaran dan portfolio produk Allianz Life yang komprehensif untuk memperkukuhkan saranan produk Pos LifeCare dan memenuhi keperluan individu pelanggan kami," ujarnya.

 

Pos LifeCare menawarkan tiga pelan berbeza. Pelan 1 memberikan manfaat kematian atau TPD sebanyak RM3,000; manfaat tambahan RM10,000; dan manfaat tunai hospital kerana denggi sebanyak RM30 sehari.

 

Individu yang diinsuranskan di bawah Pelan 2 layak mendapat manfaat kematian atau TPD sebanyak RM5,000; manfaat tambahan RM20,000; dan manfaat tunai hospital kerana denggi sebanyak RM50 sehari. 

 

Pelan 3 pula menawarkan manfaat kematian atau TPD sebanyak RM7,000; manfaat tambahan RM30,000; dan manfaat tunai hospital kerana denggi sebanyak RM70 sehari.

 

Premium tahunan untuk Pos LifeCare berbeza mengikut kumpulan umur iaitu RM50 Pelan 1 bagi yang berumur 18 hingga 50 tahun,Pelan 2 adalah RM65; dan Pelan 3 adalah RM85.

 

Individu berumur 51 hingga 60 tahun perlu membayar premium tahunan sebanyak RM95 untuk Pelan 1; RM145 untuk Pelan 2; dan RM195 untuk Pelan 3. 

 

Bagi rakyat Malaysia yang berumur 61 hingga 70 tahun, premium tahunan untuk Pelan 1 adalah RM160; Pelan 2 adalah RM250; dan Pelan 3 adalah RM360.

 

"Sekiranya berlaku kematian akibat jangkitan COVID-19 sebelum 31 Disember 2022, kami akan membayar jumlah yang diinsuranskan setelah tarikh pengeluaran Sijil Insurans dengan sijil kematian yang dilampirkan yang menyatakan jangkitan COVID-19 sebagai penyebab kematian," tambah Gross. - DagangNews.com