Allo, subsidiari TNB rangkul Anugerah Syarikat Telekomunikasi Jalur Lebar Terbaik | DagangNews Skip to main content

Allo, subsidiari TNB rangkul Anugerah Syarikat Telekomunikasi Jalur Lebar Terbaik

KUALA LUMPUR 17 April - Allo Technology Sdn Bhd (Allo), subsidiari penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menyediakan perkhidmatan internet jalur lebar bagi menyokong Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela), telah diiktiraf sebagai Syarikat Telekomunikasi Jalur Lebar Terbaik bagi tahun 2022.

 

Anugerah itu diumumkan pada majlis Asian Telecom Awards 2022 yang diadakan secara maya pada bulan Mac, sebagai mengiktiraf usaha resposif Allo bagi merapatkan jurang digital di Malaysia.

 

Allo menyediakan perkhidmatan jalur lebar gentian optik berkualiti pada kadar yang berpatutan, seterusnya membuka peluang bagi mereka yang sebelum ini berada di luar capaian terutamanya di pinggir dan luar bandar.

 

Asian Telecom Awards dianjurkan oleh Asian Business Review bagi menghargai syarikat telekomunikasi terbaik yang mempelopori produk dan penyelesaian inovatif yang cemerlang serta kekal kukuh dalam pasaran yang mencabar tahun lalu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Allo, Ir. Mohamed Ghous Ahmad berkata Allo menyokong usaha Kerajaan untuk merapatkan jurang digital menerusi inisatif Jendela yang telah menetapkan sasaran untuk menghubungkan 7.5 juta premis menjelang akhir tahun ini.

 

Sehingga kini, Allo telah menghubungkan lebih 180,000 kediaman di Melaka, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor dengan capaian internet jalur lebar gentian optik.


 

 

allo

 


Allo menetapkan sasaran untuk mencapai 300,000 kediaman menjelang akhir tahun ini.

 

“Dengan bersandarkan kepada rangkaian gentian optik milik TNB di Semenanjung Malaysia, Allo bekerjasama dengan pelbagai Pembekal Perkhidmatan Retail (RSP) bagi menyediakan Internet Jalur Lebar berkelajuan tinggi pada harga yang berpatutuan di kawasan yang terdahulunya berada di luar capaian.

 

“Usaha ini dapat merapatkan jurang digital dan memperkasakan rakyat Malaysia di kawasan pinggir dan luar bandar menerusi pelbagai aspek seperti pembangunan ekonomi digital, pendidikan dan pembangunan komuniti.


 

Ir. Mohamed Ghous Ahmad
                 Ir. Mohamed Ghous Ahmad

 


“Menerusi kerjasama erat dengan pelbagai RSP, Allo dapat memenuhi matlamat ini dengan menyediakan akses gentian optik secara meluas,” tambah Mohamed Ghous.

 

Allo telah menjalin kerjasama strategik dengan tujuh RSP setakat ini iaitu Maxis, Astro, Digi, Celcom, U Mobile, Freshtel, dan Redtone. Allo terbuka untuk menjalin hubungan dengan lebih banyak RSP untuk menghubungkan lebih ramai rakyat Malaysia di kawasan pinggir dan luar bandar. - DagangNews.com