Ambil alih operasi Gojek: AirAsia perlu nilai kemampuan segmen digital | DagangNews Skip to main content

Ambil alih operasi Gojek: AirAsia perlu nilai kemampuan segmen digital

Gojek

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 8 Julai - Syarikat penerbangan tambang murah negara, AirAsia Group Berhad (AirAsia) perlu menilai kemampuan segmen digitalnya dalam usaha mengambilalih operasi platform pemanduan e-hailing serta perkhidmatan dan pembayaran mudah alih Gojek di Thailand.

 

MIDF Research berkata, keputusan tersebut perlu diperhalusi dengan jelas dan tidak boleh dibuat dengan mudah.

 

"Kami percaya bahawa segmen digitalnya masih di tahap awal dan tentu sekali berbeza dengan kemampuan perniagaan tradisional AirAsia sebagai syarikat penerbangan.

 

"Pada kami, segmen digital AirAsia belum mampu berdiri sendiri dan masih berada pada skala yang belum mampu menampung keseluruhan kumpulan khususnya dalam tempoh terdekat.

 

"Hingga kini, kelangsungan syarikat bergantung kepada kejayaan aktiviti pendanaan dan pengoperasian semula perniagaan utamanya sebagai syarikat penerbangan," jelas MIDF Research.

 

Semalam, AirAsia melalui cabang digitalnya iaitu AirAsia Digital Sdn Bhd mengumumkan bakal mengambilalih operasi Gojek di Thailand.

 

Pengambilalihan tersebut melibatkan jumlah keseluruhan bernilai AS$50.0 juta atau RM207.83 juta.

 

Kesemua pengambilalihan itu akan dilunaskan menerusi terbitan saham dalam modal saham AirAsia SuperApp yang telah diterbitkan.

 

Perjanjian tersebut dijangka selesai pada suku keempat tahun semasa 2021 (4QCY21).

 

Baca: AirAsia ambil alih operasi Gojek di Thailand bernilai RM207.83 juta

 

Pengambilalihan tersebut dilihat melalui tiga rasional utama iaitu bagi menyediakan akses segera kepada AirAsia SuperApp ke dalam perniagaan e-dagang yang ada di Thailand selain mengurangkan kos dan tempoh masa untuk memasuki pasaran internet pengguna di negara berkenaan.

 

Selain itu, ia juga merupakan sebahagian daripada strategi AirAsia SuperApp untuk memperluas jenamanya di pasaran ASEAN lain.

 

Dalam masa sama, ia turut membolehkan pengembangan produk e-money di bawah AirAsia Digital.

 

Dalam nota kajian sama, MIDF Research mengambil pendekatan mengekalkan saranan 'jual' saham AirAsia dengan harga sasaran sesaham bernilai RM0.44. - DagangNews.com