Amerika Syarikat halang pengimportan minyak sawit FGV Holdings | DagangNews Skip to main content

Amerika Syarikat halang pengimportan minyak sawit FGV Holdings

WASHINGTON D.C 1 Okt. - Amerika Syarikat (AS) menghalang pengimportan minyak sawit dan produk sawit dari FGV Holdings dan anak-anak syarikatnya atas tuduhan menggunakan `tenaga buruh paksa'.

Produk-produk yang diangkut menggunakan kapal kini ditahan di semua pelabuhan berkuat kuasa Rabu, menurut Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS dalam kenyataannya. 

Perintah tersebut adalah berdasarkan apa yang pihak berkuasa AS katakan `maklumat yang secara asasnya menunjukkan' penggunaan tenaga buruh paksa.

Tindakan terbaharu ini adalah satu lagi tamparan terhadap industri minyak sawit selepas pandemik COVID-19 menutup restoran-restoran, mengecilkan permintaan bagi minyak masak. Baru-baru ini juga Malaysia bertelagah dengan India mengenai minyak sawit.

Arahan tersebut menurut Jabatan Kastam AS, adalah hasil penyiasatan setahun yang mendedahkan salah guna tenaga buruh dari segi mengekang pergerakan, ugutan, penipuan, keganasan fizikal dan seksual. 

Dalam kenyataan media pada 26 September lalu, FGV menyatakan ia adalah komited sepenuhnya terhadap hak asasi manusia dan meletakkan piawaian buruh pada tahap tertinggi.

Defisit minyak sawit global dijangka hanya akan meningkat selepas 2025 disebabkan kurangnya usaha penanaman semula sejak tahun-tahun kebelakangan ini dan mandat biodiesel di Malaysia dan Indonesia, menurut kajian Rabobank.

Malaysia merupakan pengeksport minyak sawit kedua terbesar ke Amerika Syarikat. Pada 2019, Malaysia mengeksport minyak sawit bernilai AS$441 juta ke negara itu, menurut data Jabatan Pertanian AS. Data juga menunjukkan untuk tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, bilangan penghantaran produk tersebut menyusut 15%. - DagangNews.com