Ami Moris dilantik pengerusi baharu 30% Club Malaysia | DagangNews Skip to main content

Ami Moris dilantik pengerusi baharu 30% Club Malaysia

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Okt. -  30% Club Malaysia mengumumkan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Kim Eng Group, Ami Moris sebagai Pengerusi baharunya.

 

Pengerusi Pengasas 30% Club Malaysia,  Tan Sri Zarinah Anwar berkata, menerusi pelantikan tersebut, Moris akan memimpin usaha memajukan pemimpin wanita di lembaga korporat dan pasukan pengurusan di Malaysia.

 

Katanya, sejak penubuhannya pada tahun 2015, pihaknya  telah melaksanakan pelbagai insiatif bagi kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman (DEI) dengan pihak berkepentingan utama untuk meningkatkan perwakilan wanita dalam lembaga pengarah dan pengurusan syarikat tersenarai (PLC) di Malaysia.

 

"Dengan sukacitanya saya mengumumkan bahawa Ami Moris menyertai 30% Club Malaysia sebagai Pengerusi berkuat kuasa hari ini.

 


"Menerusi pelantikan beliau, saya tahu bahawa kita mempunyai penyokong kuat dan pemimpin perniagaan yang berpengaruh yang untuk mempromosikan keseimbangan jantina di peringkat lembaga dan pengurusan kanan serta menterjemahkan budaya inklusif," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

30% Club Malaysia adalah sebahagian daripada kempen global yang diketuai oleh Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif yang mengambil tindakan untuk meningkatkan DEI di peringkat lembaga pegarah dan pengurusan kanan. 

 

Menurut data sehingga 1 Julai 2021 perwakilan wanita di dalam 100 PLC teratas Malaysia berada pada 25.5%, 4.5% lebih rendah daripada sasaran 30%. 

 

Sehingga tempoh itu juga, 17 % daripada jumlah kerusi lembaga pengarah bagi PLC di Malaysia adalah wanita, naik 6.3% dari 2015.

 

Pada masa ini terdapat empat buah syarikat dengan semua ahli lembaga pengarahnya terdiri daripada lelaki dalam senarai 100 PLC teratas di Malaysia. -DagangNews.com