AmInvestment Bank optimis Lagenda Properties capai sasaran jualan RM1 bilion | DagangNews Skip to main content

AmInvestment Bank optimis Lagenda Properties capai sasaran jualan RM1 bilion

 

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Okt. - AmInvestment Bank menjangkakan jualan suku ketiga tahun kewangan 2021 yang memberangsangkan bagi projek-projek Lagenda Properties, sekaligus  mengekalkan panggilan 'Beli' ke atas saham-saham milik syarikat tersebut dengan nilai saksama (FV) tidak berubah sebanyak RM1.94.

 

Menurut firma penganalisis itu, bagi suku ketiga tahun ini, pihaknya menjangkakan syarikat pemaju hartanah itu akan mmencatat penjualan yang memberangsangkan walaupun di sebalik pelaksanaan PKP 3.0 susulan penawaran harga rumah yang menarik di bawah RM200,000 seunit.

 

"Ini memberi peluang yang sangat tinggi bagi Lagenda Properties untuk mencapai sasaran jualan sebanyak RM1 bilion.

 

"Syarikat telah pun mencapai 70% sasaran jualan berjumlah RM700 juta pada separuh pertama tahun ini," katanya dalam nota kajiannya di sini hari ini.

 

Tambah AmInvestment, prospek suku keempat Lagenda Properties semakin cerah apabila Perak bergerak ke Fasa 3 pada 18 Oktober.

 

"Dengan adanya lebih banyak aktiviti ekonomi dibenarkan, ini harus diterjemahkan menjadi pendapatan yang lebih tinggi untuk Kumpulan B40 dan meningkatkan prospek penjualan hartanah Lagenda Properties," katanya. 

 

Untuk rekod, Lagenda Properties telah melantik Solarvest Holdings bagi kerja-kerja pemasangan 1,000 sistem fotovoltaik suria kediaman bagi tiga buah projeknya di Perak,

 

"Dalam jangka masa panjang, kami suka syarikat kerana kedudukannya di pasaran yang berpatutan yang mempunyai permintaan kukuh di pasaran hartanah. 

 

"Tumpuannya pada pemasangan sistem solar PV dalam projek perbandarannya adalah langkah ke arah yang betul bagi menyokong Tadbir Urus Alam Sekitar, Sosial, dan Korporat (ESG).

 

"Rancangan syarikat untuk memasang 1,000 sistem solar PV di projek perumahannya memberi penilaian positif terhadap usaha ESG syarikat," katanya. -DagangNews.com