AmInvestment mulakan liputan terhadap Kim Loong dengan saranan 'pegang' FV RM2.05 | DagangNews Skip to main content

AmInvestment mulakan liputan terhadap Kim Loong dengan saranan 'pegang' FV RM2.05

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Mei - AmInvestment Bank Berhad memulakan liputan terhadap Kim Loong Resources Berhad dengan saranan 'pegang' pada nilai wajar (FV) RM2.05 dan ia selaras dengan Skim Insentif Penyelidikan Bursa (Bursa RISE).

 

Penilaian FV itu adalah berdasarkan kepada nisbah harga kepada pendapatan (PE) bagi tahun kewangan 2024 (FY24) sebanyak 18x,  sama seperti yang digunakan untuk membuat penilaian terhadap Hap Seng Plantations dan TSH Resources.

 

Walaupun Kim Loong memiliki asas yang kukuh tetapi mereka terkesan dengan penurunan harga minyak sawit mentah (MSM) pada 2H2022.

 

"Kami menjangkakan keuntungan bersih kumpulan itu akan menurun sebanyak 5% untuk penurunan RM100 bagi setiap tan metrik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu juga menyifatkan Kim Loong berbeza daripada syarikat perladangan lain kerana ia menawarkan pulangan ekuiti (ROE) yang tinggi dan ia dibuktikan dengan pembanyaran dividen melebihi 60%.

 

"Kumpulan itu menjana pendapatan yang seimbang daripada aktiviti pengilangan dan perladangan.

 

"Bagaimanapun ia bergantung kepada harga MSM dan bekalan buah tandan segar (FFB), kadang kala aktiviti pengilangan akan menjana lebih bayak keuntungan daripada unit perladangan," katanya.

 

Margin keuntungan sebelum cukai unit pengilangan Kim Loong adalah 5.8% pada FY22 dan perladangan sebanyak 56.4%.

 

Kebanyakan pendapatan kumpulan itu hadir daripada ladang kelapa sawit di Sabah dan sehingga Januari 2021, mereka sudah menanam semula pokok baharu di atas tanah seluar 15,500 hektar dan majoritinya adalah di Sabah.

 

"Kim Loong memiliki aliran tunai yang kukuh selain belanja modal yang rendah dan atas dasar itu kumpulan itu berupaya memberikan pulangan tunai kepada setiap pemegang saham mereka setiap tahun.

 

"Pembayaran dividen tahunan adalah antara 68% hingga 107% daripada FY18 hingga FY22," katanya. - DagangNews.com