AMMB Holdings bayar RM2.83 bilion berkaitan 1MDB kepada kerajaan | DagangNews Skip to main content

AMMB Holdings bayar RM2.83 bilion berkaitan 1MDB kepada kerajaan

KUALA LUMPUR 27 Feb. - Kementerian Kewangan ingin mengumumkan bahawa AMMB Holdings Berhad telah bersetuju dengan sebuah penyelesaian global bernilai RM2.83 bilion untuk menyelesaikan semua tuntutan dan tindakan tertunggak berkaitan dengan penglibatan Kumpulan AmBank di dalam isu 1MDB.

 

Penyelesaian global terkini ini adalah sebahagian daripada usaha tuntutan kembali oleh Kerajaan Malaysia yang berterusan terhadap semua pihak yang terlibat, secara langsung atau tidak langsung, dengan 1MDB dan entiti yang berkaitan dengannya.

 

Pada bulan Julai 2020, Kerajaan telah berjaya di dalam rundingan dengan Goldman Sachs untuk mencapai sebuah penyelesaian bernilai RM15.8 bilion (USD3.9 bilion).

 

1mdb

 

"Walau bagaimanapun, kesemua penyelesaian ini tidak akan membebaskan entiti dan individu lain dari salah laku mereka di dalam kes 1MDB, dan mereka akan tetap didakwa menerusi sistem keadilan mahkamah," kata Kementerian Kewangan dalam kenyataannya.

 

Penyelesaian global oleh AMMB Holdings Berhad adalah berkait dengan pematuhan undang-undang sekuriti dan garis panduan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

 

Sebahagian dari terma-terma penyelesaian global ini termasuk syarat oleh SC agar AmInvestment Bank Berhad mengambil langkah-langkah pembetulan, termasuk menambahbaik sistem dan proses untuk memperkuatkan kerangka kerja tadbir urus mereka di dalam penilaian sukuk terbitan korporat.

 

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz berkata, “Penyelesaian terbaharu ini bermanfaat bagi rakyat Malaysia. Penyelesaian perkara ini melalui sistem mahkamah akan melibatkan masa dan sumber kewangan yang banyak.

 

"Dengan penyelesaian ini, pembayaran jumlah tersebut akan dipercepatkan, dan tidak akan tertangguh melalui sistem pengadilan mahkamah yang akan memakan masa. Jumlah ini juga dapat digunakan untuk melangsaikan kewajiban tertunggak 1MDB,” kata beliau.

 

Jumlah penyelesaian ini adalah tambahan kepada denda RM53.7 juta yang telah dikenakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan telah dibayar oleh Kumpulan AmBank. Kumpulan AmBank telah pun mengambil langkah-langkah menyeluruh untuk memperbetulkan kekurangan yang berkaitan dengan urus niaga terbabit.

 

Ini termasuk langkah-langkah di bawah program pemulihan yang disyaratkan oleh BNM untuk dilaksanakan oleh Kumpulan AmBank, yang kini diterajui oleh lembaga pengarah dan pasukan pengurusan kanan yang baharu. Dengan langkah-langkah ini, Kumpulan AmBank berada di dalam keadaan lebih baik untuk terus melindungi kepentingan pendeposit serta pemegang saham, dan bagi memastikan pertumbuhannya di masa hadapan.

 

1mdb

 

"Penyelesaian global ini tidak akan mempengaruhi atau menjejaskan tuntutan Malaysia terhadap individu seperti Jho Low, Jasmine Loo dan pihak-pihak lain yang berkaitan, dan yang masih giat dicari berkaitan dengan skandal 1MDB," kata Kementerian Kewangan.

 

Kementerian Kewangan ingin merakamkan penghargaan kepada Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bank Negara Malaysia, Pasukan Polis Diraja Malaysia, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah atas usaha mereka dalam mencapai penyelesaian ini. - DagangNews.com