ANA jangka kerugian sehingga AS$4.82 bilion | DagangNews Skip to main content

ANA jangka kerugian sehingga AS$4.82 bilion

 


TOKYO 27 Okt. - ANA Holdings Inc., syarikat penerbangan terbesar Jepun, mengunjurkan kerugian operasinya mencecah 505 bilion yen (AS$4.82 bilion) bagi tahun ini sehingga Mac selepas terjejas dengan sekatan perjalanan bagi membendung wabak COVID-19. 

Sebelum ini, unjuran 10 penganalisis yang disusun Refinitiv menjangkakan kerigian purata pada 365 bilion yen. 

Menurut Reuters, ANA dilaporkan mengalami kerugian operasi sebanyak 280.95 bilion yen bagi tempoh enam bulan berakhir 30 September 2020 berbanding 78.8 bilion keuntungan yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu. 

Seperti syarikat penerbangan lain, ANA juga mengalami penyusutan tunai selepas terpaksa meneruskan operasi walaupun penumpangnya tidak ramai. 

Walaupun permintaan bagi penerbangan domestik dilihat pulih sehingga separuh daripada tahap tahun lalu, dibantu dengan subsidi kerajaan, namun penerbangan antarabangsa hanya dalam jumlah yang kecil berbanding seperti biasa. 

ANA berkata, ia akan menghentikan 35 pesawat, dengan 28 daripadanya lebih awal termasuk 22 pesawat berbadan lebar Boeing Co 777 dan menangguhkan penghantaran sebuah pesawat 777 dan Airbus SE A380 superjumbo. 

"Bagi memastikan syarikat ini mempunyai cukup tunai bagi menghadapi tempoh sukar, ANA memperoleh AS$3.8 bilion  pinjaman subordinat dari pemberi pinjaman kerajaan dan swasta," menurut laporan itu. 

Malah, menurut sumber kepada Reuters, syarikat penerbangan ini juga merancang untuk membuat pengurangan pekerja secara sukarela dan memindahkan kakitangannya ke syarikat lain sehingga perjalanan udara kembali pulih. 

Ia juga menjangkakan penurunan dalam perjalanan domestik yang merangkumi separuh daripada perolehannya, akan berakhir dalam tempoh dua tahun dengan perjalanan antarabangsa pula sekurang-kurangnya sehingga 2024. - DagangNews.com.