Anak syarikat Awantec tandatangani perjanjian pembekalan bernilai RM75.89 juta | DagangNews Skip to main content

Anak syarikat Awantec tandatangani perjanjian pembekalan bernilai RM75.89 juta

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
nabila@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 1 Dis - Anak syarikat Awanbiru Technology Bhd (Awantec), Awantec Systems Sdn Bhd (ASSB), menandatangani perjanjian pembekalan dan perkhidmatan bernilai RM75.89 juta dengan Pernec Integrated Network Systems Sdn Bhd (Pernec).

 

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia Awantec berkata, perjanjian itu adalah bagi menyediakan penyelesaian Google Workspace. 

 

"Di bawah perjanjian itu, ASSB akan turut melaksanakan, menggunakan dan menyediakan perkhidmatan sokongan untuk perkhidmatan komunikasi dan kerjasama disatukan yang diuruskan oleh Pernec," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

 

Pernec adalah syarikat sendirian berhad yang diperbadankan di Malaysia pada 29 Jan, 1997,  menyediakan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi, penyelesaian rangkaian dan aktiviti berkaitan.  

 

“Tempoh kontrak adalah dari 25 November 2021 hingga 13 Februari, 2024. 

 

"Tanpa mengambil kira situasi di luar jangka, perjanjian itu dijangka memberi impak positif kepada pendapatan sesaham dan aset ketara bersih sesaham untuk tahun kewangan semasa berakhir 30 Jun 2022,” katanya.

 

Awantec merekodkan hasil sebanyak RM11.8 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2022 (TK22), meningkat lebih 300% daripada RM2.8 juta pada suku sebelumnya.

 

Terdapat peningkatan dalam hasil untuk kedua-dua segmen Bakat dan Teknologi yang menunjukkan daya tarikan positif dalam peralihan Awantec ke dalam ruang awan, mencatatkan pertumbuhan yang baik pada rangkaian produk dan perkhidmatannya yang baharu dan lebih luas. 

 

Hasil dalam segmen Bakat meningkat daripada RM1.5 juta pada suku keempat tahun kewangan 2021 kepada RM3.1 juta pada suku pertama TK22.

 

Perniagaan baharu dalam segmen Teknologi, yang kini disokong oleh Google menggantikan Microsoft, berkembang daripada RM1.3 juta pada suku sebelumnya kepada RM8.7 juta pada suku di bawah semakan. -DagangNews.com