Anak syarikat Brahim's perkenal Inspect System bagi kit ujian kendiri Newgene COVID-19 ATK | DagangNews Skip to main content

Anak syarikat Brahim's perkenal Inspect System bagi kit ujian kendiri Newgene COVID-19 ATK

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Brahim's Dewina Group of Companies, Dato’ Seri Ibrahim Ahmad (tengah); Pengarah Urusan Kumpulan Dewina Holdings Sdn Bhd, Nur Fatin Dato' Seri Ibrahim (kanan) dan Pengarah Pemasaran Dewina Consult Sdn Bhd, Suhaimi Aziz (kiri) memperkenalkan Inspect System bagi Newgene Covid-19 Antigen Test Kit.
Dato’ Seri Ibrahim Ahmad (tengah), Nur Fatin Dato’ Seri Ibrahim (kanan) dan Suhaimi Aziz, semasa memperkenalkan INSPECT SYSTEM di Kuala Lumpur pada 21 Oktober 2021.

 

 

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Okt. - Dewina Consult Sdn Bhd memperkenalkan Inspect System bagi pendaftaran maklumat dan pemerhatian kit ujian kendiri COVID-19 yang lebih inovatif.

 

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Brahim's Dewina, Datuk Seri Ibrahim Ahmad berkata,  Inspect System dicipta bagi memberi kemudahan kepada pelanggan yang menjalankan ujian kendiri COVID-19 serta membolehkan mereka mendaftarkan maklumat dengan lebih sistematik.

 

"Malah kemudahan lain seperti kod QR untuk setiap unit kit ujian kendiri disediakan bagi mengelakkan kes penipuan, memastikan kebolehcapaian dan kebolehkesanan, meningkatkan pengawasan COVID-19 dengan hasil masa nyata dan penjanaan sijil digital.

 

"Kit itu turut mempunyai QR Dewina dan kod pengesahan dan keputusan ujian dinyatakan pada sijil digital adalah sah selama tiga hari.

 

"Inspect System adalah sistem pertama dalam pasaran Malaysia yang mengeluarkan sijil digital selepas kit kendiri serta serasi dengan sistem MySejahtera," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Dewina Consult merupakan pengimport dan pengedar sah Newgene COVID-19 Antigen Test Kit (ATK) di Malaysia.

 

Beliau berkata demikian ketika pelancaran Newgene COVID-19 ATK dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Dewina Consult Sdn Bhd bersama eMedAsia.
 

 

dewina
Dato’ Seri Ibrahim Ahmad (kiri) dan Dr Muhammad Namazie Ibrahim - Pengerusi eMedAsia Sdn Bhd (kanan) menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Suhaimi Aziz dan Dr Arasu di Kuala Lumpur pada 21 Oktober 2021.

 


Ibrahim berkata, kerjasama dengan eMedAsia akan dapat memantapkan lagi aktiviti mempromosikan Newgene COVID-19 ATK bersama Inspect System.

 

Menurutnya, Newgene COVID-19 ATK akan dapat diperoleh menerusi platform eMedAsia terutama kepada 8,000 klinik dan pelanggan Koop Malaysia Medical Association (MMA) di seluruh Malaysia.  -DagangNews.com