Anak syarikat KPower dianugerah kontrak bernilai RM104.97 juta | DagangNews Skip to main content

Anak syarikat KPower dianugerah kontrak bernilai RM104.97 juta

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

KUALA LUMPUR 28 Jan - KPower Berhad (KPower) mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, KPower Engineering Sdn. Bhd.(KPEng) dianugerahkan kontrak dengan nilai keseluruhan RM104.97 juta daripada Fabulous Sunview Sdn. Bhd. (FSSB). 

 

Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan, Mustakim Mat Nun berkata, kontrak itu adalah untuk melaksanakan antara lain, perolehan, ujian dan penyelenggaraan loji fotovoltaik solar (PV) dengan jumlah kapasiti 50 MWac di Semenanjung Malaysia. 

 

Ujarnya,kerja-kerja tersebut dijangka siap pada 28 Februari 2023.

 

Beliau berkata, skop kerja di bawah pelantikan berkenaan termasuk penyediaan perolehan peralatan dan bahan berkaitan Projek, penyediaan kerja-kerja logistik, kerja-kerja ujian dan penyelenggaraan dan keselamatan peralatan yang berkaitan dengan projek. 

 

"Selepas melalui pelbagai halangan dan cabaran yang mengharungi kami sejak beberapa bulan lalu, kami kini memperkukuh sumber kami ke arah mengukuhkan perniagaan dan memanfaatkan kekuatan kumpulan sebagai pemain tenaga boleh diperbaharui yang menggerunkan di rantau ini.

 

 "Anugerah ini menandakan undi keyakinan dan kepercayaan oleh rakan niaga kami dalam pengurusan, sekali gus memberikan galakan besar kepada kami untuk mengukuhkan lagi kedudukan kami dalam segmen solar," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambahnya, Kumpulan kekal komited untuk mengukuhkan kedudukannya dalam segmen tenaga boleh diperbaharui dengan menjadikannya sebagai pusat sehenti untuk penyelesaian tenaga boleh diperbaharui, memberi perkhidmatan kepada keseluruhan spektrum tenaga berkenaan.

 

“Kami menjangkakan perkembangan positif dalam industri tenaga boleh diperbaharui dalam tempoh dua tahun akan datang dengan peluang yang dibentangkan oleh inisiatif hijau di seluruh dunia dan peningkatan penggunaan tenaga boleh diperbaharui. 

 

"Memandangkan prospek berdaya tahan bagi sektor tenaga dan jangkaan pemulihan ekonomi, kami optimistik dengan prospek Kumpulan,” tambahnya. 

 

Tanpa sebarang keadaan yang tidak dijangka, pelaksanaan perjanjian ini dijangka menyumbang secara positif kepada aset bersih Kumpulan, pendapatan disatukan dan pendapatan sesaham Syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 hingga 30 Jun 2023. -DagangNews.com