[ANALISIS] Kesetiaan 12,000 pekerja Malaysia Airlines 'teruji' | DagangNews Skip to main content

[ANALISIS] Kesetiaan 12,000 pekerja Malaysia Airlines 'teruji'

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


Nasib 12,000 pekerja syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines yang bertahan sejak Mac lalu di sebalik pelbagai ujian getir akhirnya bakal menemui titik noktah. 

Malaysia Aviation Group (MAG) semalam menawarkan skim persaraan awal kepada pekerja terbabit merangkumi  seluruh syarikat termasuk anak syarikat Malaysia Airlines iaitu MASwings, MAB Kargo, AeroDarat Services, Firefly, Hijrah Biru dan Akademi MAB.

Langkah itu yang menyasarkan kepada pekerja berusia 45 tahun dan ke atas serta berkhidmat secara berterusan minimum 10 tahun berpangkalan di Malaysia akan menyaksikan hampir 50% daripadanya hilang pekerjaan, seperti dianggarkan Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Penerbangan Malaysia (Nufam). 

Malah, pampasan yang diberikan juga difahamkan hanya tiga bulan gaji. Sama ada mereka mahu atau tidak, langkah pembuangan pekerja terpaksa jua dilaksanakan. 

Kesemua pekerja Malaysia Airlines sebelum ini telah melalui pemotongan gaji sejak Mac lalu dengan keyakinan suatu hari nanti wau bulan boleh kembali terbang di awan biru. 

Sebelum ini, syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Group telah memberhentikan 10% daripada 24,000 pekerjanya dan berharap tiada lagi langkah sedemikian setelah 300 pekerja dibuang, Jun lalu. 

Malindo Air pula dilaporkan mahu mengecilkan operasinya dengan 1,000 sahaja pekerja dikekalkan daripada keseluruhan 3,200 pekerja dan beroperasi dengan lima buah pesawat berkuasa jet merangkumi Boeing 737-900ER dan 737-800 serta enam pesawat turboprop ATR72-600.

Keputusan melepaskan pekerja dalam sektor penerbangan bukan sahaja berlaku di Malaysia malah syarikat penerbangan global juga tidak terlepas berdepan perkara ini, walaupun ia sebenarnya perkara yang menyakitkan.

Apatah lagi, berdasarkan jangkaan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), perjalanan penumpang tidak akan kembali ke tahap praCOVID-19 sehingga 2024.

Terbaharu, semalam, Cathay Pacific Airways Ltd Hong Kong, mengambil langkah serupa dengan mengurangkan sehingga 5,900 pekerjaan dan menutup anak syarikatnya, Cathay Dragon. Langkah penyusunan semula korporat syarikat itu menelan belanja HK$2.2 bilion.

Secara keseluruhan, Cathay Pacific akan memotong 8,500 jawatan atau 24% daripada jumlah kakitangannya, termasuk 2,600 jawatan yang belum diisi susulan inisiatif pengurangan kos.

Syarikat penerbangan terbesar dunia, American Airlines Group Inc. pada 1 Oktober lalu telah memberhentikan 19,000 pekerjanya apabila skim sokongan gaji yang diberikan kerajaan berakhir. 

Pada September lalu, Virgin Atlantic mengumumkan memberhentikan 1,150 pekerja setelah melaksanakan tindakan yang sama awal tahun ini membabitkan 3,500 pekerja. 

United Airlines turut memberhentikan 13,000 pekerjanya setelah merekodkan kerugian AS$3.3 bilion pada separuh pertama tahun ini. 

Singapore Airlines Ltd (SIA), yang merupakan salah satu syarikat penerbangan terbesar dunia juga tidak terlepas mengambil langkah itu apabila terpaksa mengurangkan sehingga 20% atau 4,300 pekerja melibatkan SIA dan anak syarikatnya, SilkAir dan Scoot setelah dana yang dikumpul tidak mampu menampung operasi syarikat itu lagi. 

Pada Jun lalu, SIA berjaya mendapat dana berjumlah S$19 bilion sewaktu pandemik. Pemegang saham terbesar Singapore Airlines, Temasek Holdings menanggung jamin penjualan saham dan bon boleh tukar sehingga S$15 bilion manakala bank terbesar Singapura, DBS Group Holdings Ltd menyediakan dana pinjaman S$4 bilion.

Berbanding syarikat penerbangan global yang lain, Malaysia Airlines mungkin tidak bernasib baik. Masalah hutang yang membelenggu syarikat tersebut sebelum pandemik COVID-19 semakin memburukkan keadaan.

Syarikat penerbangan tersebut secara teknikal sudah bankrap apabila liabiliti melebihi asetnya sebanyak RM852.14 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018. 

Kini perancangan untuk menutupnya bergantung kepada Khazanah Nasional Bhd. dan sejauh mana perbincangan dengan pemajak dan pemiutang berjalan dengan baik.  

Pastinya, dalam tempoh beberapa minggu ini adalah tempoh kritikal bagi Malaysia Airlines yang mengumumkan pelan penstrukturan segera melibatkan liabiliti berjumlah RM16 bilion.

Turut terkesan adalah AirAsia X, yang nasibnya juga bergantung kepada berjaya atau tidak pelan penstrukturan semulanya apabila syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh ini hampir jatuh dalam kategori Amalan Nota 17 (PN17) pada Julai lalu.

Ini berikutan audit luaran, Ernst & Young PLT (E&Y) mendapati kumpulan merekodkan kerugian bersih RM283 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 dengan liabiliti semasa melebihi aset sebanyak RM1.84 bilion.

Tanpa vaksin, peningkatan kes COVID-19 yang hampir mencecah 42 juta dan merekodkan kematian 1.14 juta di seluruh dunia, hakikatnya adalah mustahil untuk melihat sektor penerbangan kembali rancak sekurang-kurangnya seperti akhir tahun lalu. - DagangNews.com