Analisis PRN Sarawak akhbar Cina | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 25 December 2021

Analisis Pilihan Raya Sarawak oleh akhbar-akhbar Cina

Sin Chew Jit Poh dan Oriental Daily

 

 

PILIHAN RAYA Negeri (PRN) Sarawak ke-12 telah pun melabuhkan tirainya. Seperti jangkaan semua pihak, Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperoleh kemenangan besar dengan meraih 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

 

Semasa PRN 2016, GPS mempunyai 72 kerusi manakala parti pembangkang mempunyai 10 kerusi iaitu DAP – 7 dan PKR – 3.

 

Keputusan pilihan raya kali ini seolah-olah memberi petunjuk orang luar (ahli politik) tidak dialu-alukan dalam politik Sarawak, apatah lagi mahu ‘menunjuk-nunjuk’ cara memerintah.


 

apa

 


Kali ini Parti Sarawak Bersatu (PSB) pimpinan Wong Soon Koh menang 4 kerusi menjadi parti pembangkang di Sarawak.

 

Bagi Pakatan Harapan (PH) pula, DAP hanya menang di Padungan dan Pending sahaja, manakala PKR dan Amanah terus terkubur.

 

Dalam GPS, prestasi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang paling baik masing-masing menang kesemua kerusi yang ditandingi.

 

Sementara itu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menang 13 daripada 18 kerusi yang ditandingi (72%), parti Demokrati Progresif (PDP) memperoleh 5 daripada 6 kerusi yang ditandingi (83%).


 

yas

 


Keputusan cemerlang yang diperolehi kedua parti itu benar-benar mengejutkan kerana sebelum pilihan raya bermula, GPS juga sama menerima pelbagai cabaran berat yang membuatkan pemimpin parti rasa tertekan.

 

Tiga cabaran yang dihadapi GPS sebelum hari pengundian:-

  1. Terlalu ramai calon yang bertanding terutamanya di kawasan bandar dan kawasan majoriti Dayak. Cabaran yang dihadapi bukan lagi calon bebas tanpa parti atau parti kecil yang berjuang sendiri seperti Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI). Ancaman kali ini adalah daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK) yang dipimpin oleh mereka yang berpengalaman. Kemunculan parti-parti kecil yang bertanding juga sedikit sebanyak memberi kekeliruan kepada pengundi.

     
  2. Pertikaian dalam pembahagian kerusi. Antaranya perebutan kerusi Dudong antara SUPP dan PDP; perebutan kerusi dalaman yang berlaku dalam PBB dan SUPP. Keadaan ini menyebabkan setiap parti menghadapi pelbagai halangan. 

     
  3. Bagi PRS pula, kematian pemimpinnya James Jemut Masing telah membawa kepada huru-hara pengagihan kuasa dalam parti kerana ketidakpastian pewaris parti menyebabkan berlaku konflik dalaman memuncak.

 

 

Ketiga-tiga cabaran di atas telah menyebabkan GPS sama seperti PH berdepan masalah dalaman dan luaran.

 

Ramai yang membuat spekulasi Abang Jo hanya boleh memperoleh kira-kira 60 kerusi sahaja. Tetapi menakjubkan apabila keputusan pilihan raya kali ini GPS menyapu 76 kerusi, bermakna parti gabungan berjaya melepasi cabaran di atas.

Kegemilangan rekod yang dicapai oleh GPS dalam PRN juga ada kaitan dengan keadaan semasa.

 

PH Sarawak yang lemah, parti gabungan tidak menggunakan logo yang sama bertanding dan ketiadaan pemimpin PKR untuk mengemudi parti itu.


 

PM


Kekurangan isu tempatan yang diketengahkan oleh parti pembangkang, membuatkan pengundi tidak dapat melihat keikhlasan PH.

 

Selain itu, pilihan raya yang diadakan semasa pandemik ibarat satu kehancuran kepada PH.

 

Mereka tidak dapat lagi menjalankan kempen secara fizikal dan mengumpul dana semasa ceramah, seperti yang selalu dilakukan oleh pembangkang dulu.

 

Harus ditekankan bahawa pilihan raya di Sarawak dan Semenanjung adalah berbeza, isu yang dibangkitkan lebih bersifat tempatan.

 

Maknanya, politik di peringkat pusat tidak memberi pengaruh mendalam kepada pengundi Sarawak. Sebaliknya kualiti dan reputasi calon tempatan yang memberi pengaruh kepada pilihan pengundi.

 

Contohnya, Wong Soon Koh, See Chee Hau dan Baru Bian yang telah keluar daripada parti dan mewakili parti baru PSB, berjaya mempertahankan kerusi masing-masing. Ini jelas menunjukkan, pengundi memilih calon bukan parti.

 

Turut menjadi ulasan kemenangan besar GPS adalah kerana kadar keluar mengundi adalah rendah, iaitu pengundi muda tidak balik mengundi.

 

Antaranya kerana pandemik dan tiket kapal terbang yang terlalu mahal membuatkan mereka merasakan tiada keperluan untuk balik mengundi.

 

Mereka juga kemungkinan bercadang untuk balik semasa Pilihan Raya Umum (PRU) sahaja.


 

undi
PASUKAN SPR dan anggota polis di pusat mengundi di Bakun, Sarawak semasa pilihan raya negeri pada 18 Disember 2021.



Sarawak bukan lagi ‘simpanan tetap’ mana-mana parti, tetapi adalah ‘king maker’ sebenar dan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah pedangnya.

 

Perkara ini jelas menunjukkan betapa pentingnya politik Sarawak sehinggakan kedua-dua parti pemerintah dan pembangkang perlu memberi laluan jika mahu melihat sinar di masa hadapan.

 

Tanpa Sarawak, mana-mana parti politik di Semenanjung Malaysia pasti akan gagal.

 

Kelulusan pindaan MA63 sebelum PRN Sarawak, menjadi penggerak kepada parti yang memerintah.

 

GPS telah menggunakan kejayaan ini  untuk memberitahu rakyat, semakin kuat parti itu maka semakin kuat peluang untuk mendapatkan semula autonomi politik, agama dan bahasa, serta keperluan untuk pembangunan ekonomi yang lebih banyak. - DagangNews.com

 

 

Rencana ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh dan Oriental Daily, 20-23 Disember 2021 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

 

Portfolio Tags