Analisis Terhadap Digital Nasional Berhad dan Kita | DagangNews Skip to main content

Analisis Terhadap Digital Nasional Berhad dan Kita

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

JUMAAT lepas, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek membayangkan bahawa tender untuk pembangunan infrastruktur 5G yang dianggarkan bernilai RM15 bilion akan diumumkan tidak lama lagi.

 

"Saya percaya ia akan dibuka tidak lama lagi, tetapi bukan MCMC untuk menyatakannya. Digital Nasional Bhd (DNB) akan mengeluarkan kenyataan yang sewajarnya," katanya pada Persidangan Pelabur RHB pada 9 April lalu.

 

Sama ada MCMC jumped the gun dalam soal ini, atau sebagai isyarat kepada DNB menyegerakan pengumuman, tidaklah kita tahu. Yang pastinya, sejak diumumkan penubuhannya pada Februari lalu, banyak benda diharap-harapkan oleh semua pihak berkepentingan.

 

Triton2020

 

Ini belum dikira dengan cara kelahirannya yang masih berterusan diperkatakan, terutama daripada penganalisis industri.

 

Antara perkara yang mencetuskan tanda tanya ialah model SPV itu sendiri kerana ia dilihat berbeza berbanding negara-negara lain di dunia, yang mana lesen 5G diberikan secara tender terbuka.

 

Difahamkan sebelum ini, MCMC menerusi pasukan bertindak 5G merancang pembangunan 5G dalam tempoh 5 tahun dengan kos berjumlah RM7.5 bilion tetapi di bawah pelan terbaharu ini, kerajaan perlu melabur sebanyak RM15 bilion untuk tempoh 10 tahun.

 

Pertubuhan NGO, Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM) menyifatkan rancangan kerajaan untuk membina infrastruktur 5G berjumlah RM15 bilion di seluruh negara melalui sebuah entiti khusus ataupun ‘Special Purpose Vehicle’ (SPV) dan bukan melalui proses tender terbuka amat membimbangkan, lagi mencurigakan.

 

Persaingan pasaran selalunya akan mendorong syarikat-syarikat tempatan untuk menawarkan produk dan perkhidmatan yang paling inovatif, kos efisyen, dan intuitif demi meyakinkan pelanggan-pelanggan terhadap keluaran mereka.

 

Tetapi, pelaksanaan infrastruktur 5G melalui SPV ini tidak mempunyai faktor saingan yang sihat untuk memastikan ia menjalankan suatu operasi yang efisyen dalam mendirikan infrastruktur yang stabil, komprehensif, berkualiti tinggi dan mampu milik.

Triton2020

 

Fitch Solutions dalam kenyataannya juga menyebut, "Peningkatan kos yang tinggi ekoran pembentukan entiti tunggal kemungkinan akan diserahkan kepada syarikat-syarikat telekomunikasi dalam bentuk kos borong (‘Wholesale Price’) yang lebih tinggi; akibatnya, margin dan keuntungan yang lebih rendah akan membantutkan kebolehan syarikat-syarikat telekomunikasi atau pengendali-pengendali teknologi untuk melabur dan mengembangkan perkhidmatan mereka.”

 

Dalam nota kajian CGS-CIMB bertarikh 22 Februari lalu, firma itu berpendapat sebarang ketidaktentuan berkaitan kecekapan kos SPV dalam pelancaran rangkaian 5G ini sebahagiannya bergantung kepada bayaran yang diperlukan untuk menyewa infrastruktur sedia ada dan dari siapa.

 

Menurutnya, pelancaran yang mempunyai kos tinggi kemungkinan akan menyebabkan bayaran akses borong lebih tinggi dan mengurangkan manfaat penjimatan kos kepada syarikat telekomunikasi (sebaliknya mungkin terpaksa bersaing dengan harga runcit yang rendah ekoran kurangnya perbezaan rangkaian). 

 

"Kos borong yang lebih tinggi juga berkemungkinan akan dibebankan kepada pengguna,” kata GEM.

 

Langkah kerajaan menggunakan SPV bagi spektrum 5G juga dijangka meningkatkan kos penggunaan kepada syarikat dan memperlahankan pembangunan teknologi di Malaysia termasuklah teknologi 5G. 

 

Rangka Tindakan Ekonomi Digital

Pelaksanaan rangkaian 5G merupakan antara tunjang utama di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, 19 Februari lalu. 

 

Inisiatif ini akan meletakkan Malaysia salah satu negara pertama di rantau ini yang membina ekosistem 5G menggunakan internet dan perkhidmatan awan dalam masa sebenar.

 

Selain itu, di bawah MyDigital ini juga kerajaan akan membina pusat data berskala hiper dan perkhidmatan perkhidmatan Cloud Service Provider (CSP) menerusi 4 syarikat iaitu Telekom Malaysia, Microsoft, Google dan Amazon.

 

swift

 

Hakikatnya, Malaysia tidak boleh gagal dalam usaha pembangunan 5G ini, kerana jika tidak negara ini akan ketinggalan. 

 

Berdasarkan data yang dikeluarkan Viavi Solutions menunjukkan 1,336 bandar sudah mempunyai rangkaian 5G, peningkatan sehingga 350% sepanjang tahun lalu di sebalik pandemik COVID-19 dan setakat Januari 2021 pula, lebih daripada 30% negara di dunia kini mempunyai ketersediaan 5G. 

 

Tiga negara utama yang mempunyai paling banyak rangkaian 5G ialah China dengan 341 bandar diikuti Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan (85). Kini, 54 bandar di United Kingdom juga sudah mempunyai rangkaian 5G manakala Sepanyol ialah 53, menurut data tersebut. 

 

Struktur organisasi DNB

Kementerian Kewangan menetapkan wakil kerajaan di dalam Lembaga Pengarah DNB iaitu :

Pengerusi          –           Dato’ Asri Hamidon, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan

Ahli Lembaga Pengarah :

 –           Datuk Seri Dr. Yusof bin Ismail, Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri.

 –           Dato’ Mohamed Sharil Tarmizi

 –           Dato’ Muthanna Abdullah

Dan di peringkat pengurusan, DNB akan diterajui Ketua Pegawai Eksekutif, Augustus Ralph Marshall.

 

dnb
Ralph Marshall

 

Menurut Kementerian Kewangan, gabungan lantikan profesional dengan pengkhususan di dalam sektor-sektor seperti kewangan awam, penguatkuasaan telekomunikasi, teknologi maklumat, telekomunikasi dan perundangan merupakan kombinasi kemahiran dan pengalaman yang tepat untuk membina, memiliki dan menguruskan rangkaian 5G Malaysia untuk pelancaran komersil seluruh negara.

 

Menurut Kementerian Kewangan, DNB akan menawarkan perkhidmatan 5G melalui model borong yang dirangka untuk memastikan ketelusan dan pelaksanaan yang lebih baik.

 

“Ia akan diuruskan berlandaskan kerangka governans yang sesuai, proses tender terbuka bagi pembangunan infrastruktur 5G, serta amalan terbaik global untuk memastikan pengurusan yang mantap.

 

“Semua pemain perkhidmatan telekomunikasi akan mendapat akses terbuka, adil dan setara di dalam mendapatkan perkhidmatan rangkaian 5G secara borong untuk pembangunan perkhidmatan runcit berlandaskan teknologi 5G ini.”


DagangNews.com difahamkan Ralph Marshall yang merupakan bekas peneraju Maxis dan Astro telah melantik barisan pengurusannya iaitu :

  • Dushyan Vaithiyanathan selaku Ketua Pegawai Operasi (COO)
  • Too Tian Jen (Ketua, Kejuruteraan Rangkaian & Operasi)

     
Dushyan Vaithiyanathan
Dushyan Vaithiyanathan

 

Panel Penasihat Teknikal DNB:

  • Adrian Lim
  • Chiaw Hooi Tan
  • Bharat Bhargava
  • Daniel Odmunsen
  • Ruben Castellanos
  • Tay Soo Meng

 

Nampaknya Ralph Marshall telah memilih pasukannya, ramai dari Maxis. Masa akan menentukan sama ada DNB ini akan mencapai semua KPI dan tidak menjadi seperti pelaburan telekomunikasi yang gagal di luar negara.

 

Kita juga berharap nasib vendor-vendor dan syarikat telekomunikasi Bumiputera tidak terabai atau disisihkan daripada agenda Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.  – DagangNews.com

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim, yang merupakan Pengarang Urusan DagangNews.com, dan bekas Pengarang Berita Ekonomi & Pengarang Eksekutif Utusan Malaysia 1939 yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau hal-hal yang menyebabkannya mendengar lagu Titian Perjalanan oleh XPDC  berulang-ulang kali. 

 

*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.