Skip to main content

Ancom - syarikat Malaysia pertama bertapak di Brazil

 MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

DALAM gundah-gulana ekonomi yang terjejas teruk oleh COVID-19 ini, ramai mencari inspirasi untuk dijadikan pendorong dan pembakar semangat.

 

Maka, hari ini Merrepak akan bercerita mengenai sebuah syarikat Malaysia, yang tidak diketahui ramai tetapi menjadi satu-satunya entiti korporat negara yang berjaya bertapak di Brazil.

 

Kenapa dan bagaimana syarikat Malaysia boleh bertapak di Brazil? Dia bekalkan kasut bolakah?

 

Memperkenalkan syarikat Ancom Berhad. Ditubuhkan pada 3 Mac 1969 dengan nama asal Ansul (Malaysia) Sdn Bhd sebagai perintis kepada pengeluaran bahan kimia pertanian dan racun herba di negara ini.

 

Selepas beberapa perubahan dari segi pengurusan dan pemegang saham, syarikat ini dikenali dengan nama Ancom pada 9 September 1989 dan disenaraikan di bursa saham KL pada 29 Mac 1990.

 

Ancom kini dikuasai oleh Datuk Siew Ka Wei, selaku pemegang saham terbesar dan berperanan sebagai Pengerusi Eksekutif syarikat manakala pengurusan diketuai CEO syarikat, Lee Cheun Wei.

 

Siew Ka Wei
                  Siew Ka Wei

 

Fakta yang anda mesti hafal mulai sekarang: Ancom memiliki pelanggan yang merupakan pengeluar tebu terbesar di dunia iaitu di Brazil.

 

Jumlah keseluruhan luas tanaman tebu dunia adalah antara 25 juta hingga 26 juta hektar meliputi lebih 90 negara di dunia, dan 10 juta daripada terhadap di Brazil.

 

tebu
Saujana mata memandang, ladang tebu di Brazil.

 

Hebat, bukan? Ini kerana Ancom adalah satu-satunya pengeluar bahan kimia pertanian (agrochem) Malaysia yang memiliki pejabat di Brazil. Produk-produk agrochem Ancom adalah penting untuk pengurusan perladangan, bagi meningkatkan hasil dan pengeluaran tebu.

 

Secara umumnya, syarikat menjual produk uniknya ke lebih 40 negara, seperti Amerika Syarikat, Mexico, Jamaica, Honduras, Cuba, Afrika Selatan, Kenya, Nigeria dan Jepun. Ia juga menjual ke negara ASEAN terpilih menerusi rangkaian pengedaran globalnya.

 

Malah, kenaikan harga gula dunia turut menyumbang besar kepada perolehan Ancom, malah dilaporkan naik 40% dibandingkan tahun sebelumnya.

 

Selain gula, produk Ancom juga diguna dengan meluas untuk tanaman lain seperti jagung, kopi dan minyak sawit. Harga-harga komoditi tersebut telah meningkat khususnya semasa pandemik ini. Ia sekali gus mendorong dan membolehkan petani berbelanja lebih lagi untuk produk agrochem bagi menambah hasil tanaman mereka.

 

kopi
PEKERJA menapis biji kopi di ladang kopi di Brazil.

 

Perniagaan  Ancom hari ini sudah meluas merangkumi bahagian-bahagian perniagaan yang antaranya adalah:     

  • Produk kimia pertanian dan industri - pengilangan dan penjualan kimia pertanian dan perindustrian;
  • Kesihatan & Kebersohan - kawalan serangga perosak, tandas & kebersihan, fumigasi dan perkhidmatan sanitasi ruang dan permukaan.

 

Ancom adalah syarikat induk kepada Nylex (Malaysia) Berhad dan Ancom Logistics Berhad, kedua-duanya disenaraikan masing-masingnya di Papan Utama Bursa Malaysia dan Pasaran ACE.

 

Apa yang nyata, penganalisis saham berasa negara sedang berada di dalam suasana rancak saham komoditi dan bank-bank utama dunia juga memberi isyarat bahawa ini hanyalah pusingan pertama `supercycle’.

 

Goldman Sachs yang pertama menyebutnya pada penghujung tahun lalu, dan disusuli oleh hampir kesemua institusi kewangan utama mengenai masa depan cemerlang saham berasaskan komoditi.

 

sacjs

 

Faktor yang mendorongnya ialah

  • pemulihan global berikutan adanya vaksin COVID-19;
  • gangguan bekalan disebabkan larangan bergerak selama ini;
  • pertumbuhan berterusan China yang merupakan pembeli terbesar sumber-sumber asli;
  • Pakej fiskal agreasif untuk menangani kerisauan terhadap inflasi, dengan komoditi dijadikan sandaran.

 

Dalam konteks ini, syarikat penapis dan pengeluar gula terbesar Malaysia, MSM Malaysia Holdings juga berpotensi meraih manfaat daripada situasi positif ini.

 

msm

 

Cuma, sebagai penapis gula, MSM perlu mendapatkan sumber gula asli dari negara-negara pengeluar tebu seperti Thailand dan juga penanam tebu terbesar di dunia, Brazil.

 

Senyumlah jika anda rasa bersemangat mengetahui ada wakil Malaysia bertapak kukuh di Brazil. Tidak semua mesti kelam gelam dalam kita berjuang keluar dari kemelut pandemik ini. Teruskan berusaha. Jangan putus asa. - DagangNews.com

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim, yang merupakan Ketua Kandungan TV Sarawak (MyTV, Astro 122), Pengarang Urusan DagangNews.com dan bekas Editor Eksekutif Utusan Malaysia 1939, pada setiap Ahad yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau hal-hal yang menyebabkannya mendengar lagu Long Train Runnin' - Doobie Brothers berulang-ulang kali. 

*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.