'Anda bebas memilih PN atau sebaliknya' - PM | DagangNews Skip to main content

'Anda bebas memilih PN atau sebaliknya' - PM

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 1 Mac - "Saya sedar dan saya faham maksud demokrasi, justeru, tidak ada satu pun daripada ordinan ini yang bertujuan untuk membolehkan Perdana Menteri kekal berkuasa selama-lamanya." 

 

Demikian tegas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika menyampaikan ucapan Setahun Prihatin Malaysia yang disiarkan secara langsung pagi tadi. 

 

Proklamasi Darurat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah semata-mata untuk mengatasi masalah COVID-19. 

 

Sejak darurat berkuatkuasa, Agong telah memasyhurkan tiga ordinan iaitu, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021. 

 

Jelasnya, kesemua ordinan ini membolehkan kerajaan menangani pandemik COVID-19 dengan lebih cekap dan berkesan, termasuk menambahbaik pengurusan penginapan pekerja asing yang menjadi antara punca utama penularan COVID-19 di negara ini. 

 

Dengan adanya proklamasi darurat, kesemua ordinan ini dapat dimasyhurkan dalam tempoh singkat tanpa perlu melalui proses di Parlimen yang kebiasaannya mengambil masa lama.

 

"Malah, darurat yang sedang dilaksanakan ini juga mempunyai tempoh tamat pada 1 Ogos 2021. Inilah kali pertama dalam sejarah negara kita, darurat mempunyai tempoh tamat," katanya lagi. 

 

Menurut beliau, selain itu, Agong juga telah melantik sebuah Jawatankuasa Khas Bebas yang turut dianggotai oleh Ahli-Ahli Parlimen pembangkang untuk meneliti keadaan darurat di negara ini dan membuat perakuan samada darurat boleh ditamatkan lebih awal atau sebaliknya. 

 

"Saya percaya Jawatankuasa Khas Bebas ini akan meneliti keadaan pandemik COVID-19 di negara kita dengan sebaik-baiknya. 

 

"Jika jawatankuasa ini berpuashati bahawa masalah COVID-19 telah dapat dikawal sepenuhnya, maka perakuan boleh dibuat supaya darurat ditamatkan," jelasnya.

 

Muhyiddin juga menegaskan sekali lagi bahawa beliau menjunjung Perlembagaan dan prinsip demokrasi. 

 

Apabila masalah COVID-19 telah dapat diatasi, beliau memberi jaminan akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen supaya pilihan raya boleh diadakan. 

 

Perdana Menteri berkata, tumpuan kerajaan ketika ini adalah untuk menangani krisis ekonomi dan kesihatan yang melanda negara ini. 

 

Sehingga tempoh itu, katanya, barisan Kabinet akan terus menjalankan tanggungjawab dan amanah yang digalas ini dengan terbaik. 

 

"Apabila pandemik ini berakhir, yang mana saya berharap agar ia lebih cepat, saya sendiri akan menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya membubarkan Parlimen. 

 

"Sudah tentu, apabila pilihan raya diadakan, kami serahkan kepada rakyat untuk membuat keputusan sama ada Perikatan Nasional (PN) akan diundi semula atau sebaliknya. 

 

"Anda bebas memilih dan inilah yang dinamakan demokrasi," tegas beliau.  

 

Dalam perutusan itu, beliau juga sempat merakamkan penghargaan terhadap komitmen yang ditunjukkan pelbagai pihak yang telah menyokong segala usaha kerajaan dalam mengurus pandemik COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara. 

 

"Apa sahaja pencapaian negara kita sepanjang tahun lalu dan yang akan datang adalah pencapaian anda semua," katanya. - DagangNews.com