KAIN BATIK SIMATI PUN JADI PERBALAHAN HARTA PUSAKA
ADA kawan tegur saya, cukuplah cerita tentang poligami. Ramai orang dah panas!
Saya bercerita panjang lebar tentang poligami bukanlah kerana nak menghina atau perli sesiapa. Fenomena ini memang berlaku dalam masyarakat dan ia memang subjek yang tidak berapa suka dikupas kerana sensitivitinya.
Mengulas perkara sensitif bukanlah perkara asing kepada saya kerana apabila saya mula bercakap tentang harta pusaka pada tahun 1998, ia juga merupakan perkara ‘taboo’ yang tidak mahu diperkatakan masyarakat.
Hakikatnya masalah harta pusaka itu satu realiti. Jika tidak masakan terdapat lebih dari RM70 bilion nilai harta pusaka yang masih tidak selesai di Malaysia!
Sebenarnya minggu ini memang saya sudah merancang tidak mahu mengulas lagi isu poligami walaupun ia mempunyai kesan langsung kepada isu harta pusaka.
Saya lebih berminat untuk mengulas isu tentang mengurus emosi di dalam urusan harta pusaka untuk artikel saya minggu ini. Subjek yang berat tetapi perlu difahami juga oleh masyarakat.
Dalam pengalaman 25 tahun saya di dalam industri ini, memang mengurus emosi waris-waris membawa cabaran yang lebih besar berbanding menguruskan isu teknikal undang-undang harta pusaka.
Ramai beranggapan isu teknikal undang-undang ini sangat rumit untuk difahami dan dilalui. Pada saya isu ini senang sahaja nak diselesaikan.
Proses perundangan harta pusaka itu sebenarnya memang telah termaktub dengan jelas baik dari sudut undang-undang sivil mahupun undang-undang syariah melalui akta atau enakmen yang berkenaan.
Apa yang perlu dibuat oleh waris-waris ialah untuk melalui proses-proses tersebut bagi memastikan mereka yang berhak menerima harta pusaka berkenaan. Ini satu prosedur yang objektif.
Yang paling susah sebenarnya ialah bagaimana untuk menguruskan emosi waris-waris supaya mereka boleh melalui proses ini dengan tenang, berlapang dada dan berkompromi.
Pengalaman menunjukkan ada pelbagai faktor kenapa pengurusan emosi ini menjadi satu cabaran besar.
Antara yang paling banyak kami temui ialah faktor pengaruh pasangan waris.
Mereka ini berkecenderungan untuk masuk campur urusan harta pusaka ibu bapa mertua sehingga mendesak dan mempengaruhi pasangan mereka membuat tuntutan-tuntutan tertentu dibuat ke atas harta pusaka itu.
Ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan waris-waris yang lain.
Ada juga keadaan di mana hubungan sesama waris memang sudah bermasalah semenjak ibu bapa masih hidup lagi.
Perasaan tidak puas hati sekian lama ini akan mendorong mereka untuk mencetuskan perbalahan walaupun disebabkan isu kecil yang sepatutnya boleh diselesaikan dengan mudah.
Saya pernah berjumpa kes adik-beradik bergaduh sehingga bertengking antara satu sama lain hanya kerana kain batik yang ‘hilang’ selepas kematian ibu.
Kalau difikirkan memang tidak logik isu sekecil ini menjadi penyebab. Namun itulah hakikatnya.
Bayangkan jika kain batik yang nilai tidak seberapa itu pun tidak boleh dikompromi, bagaimana pula nak berbincang agihan harta yang lebih bernilai seperti hartanah, akaun bank dan barang kemas?
Ada juga suara-suara sinis yang mengatakan hukum faraid kan sudah ada, apa masalahnya. Bercakap memang mudah namun pelaksanaannya tidak semudah itu.
Di belakang setiap hukum faraid itu ada manusia yang perlu melalui prosesnya. Daripada pengalaman saya, memang waris faham siapa dapat berapa banyak bahagian itu sudah pun ditetapkan oleh hukum.
Namun mereka akan menimbulkan pelbagai persoalan lain terutamanya yang berkaitan tindakan waris-waris lain semasa hidupnya ibu bapa.
Antara yang sering berbangkit ialah kisah-kisah lama seperti layanan istimewa ibu bapa kepada ‘anak emas’ tertentu. Anak emas ini diberikan segala kelebihan semasa ibu bapa masih hidup namun tidak berbakti ketika ibu bapa terlantar sakit.
Anak-anak yang dianggap ‘kurang’ itulah yang bertungkus-lumus menjaga kebajikan ibu bapa di penghujung hayat mereka.
Antara rasa tidak puas hati yang biasa juga kami dengar ialah anak-anak emas ini telah pun diberikan harta-harta tertentu semasa ibu bapa masih hidup lagi.
Jadi kenapa mereka menerima juga bahagian di dalam hukum faraid daripada harta pusaka yang berbaki? Bukankah itu tidak adil kepada waris yang lain?
Kalau nak diperincikan semua sebab emosi terganggu dalam proses pengurusan pusaka memang sangat banyak dan rumit kita fahami. Tetapi situasi ini hakikat dan ia memang berlaku.
Sebenarnya sakit kepala juga kami di Wasiyyah Shoppe Berhad mahu melayan semua emosi waris-waris ini.
Dalam banyak keadaan 70% daripada masa dan tenaga kami terpaksa diluangkan untuk mengurus emosi waris-waris berbanding dengan menyelesaikan isu teknikal undang-undang.
Jika emosi dapat diuruskan, isu teknikal undang-undang sebenarnya sangat mudah dan tepat.
Kadang-kadang walaupun waris-waris telah diterangkan secara terperinci segala isu teknikal proses perundangan yang akan dan telah berlaku malah telah diberikan dokumen hitam-putih yang sangat jelas tentangnya, masalah tetap berlaku kerana sentiasa mudah untuk wujud rasa tidak berpuas hati dalam kalangan mereka.
Wasiyyah Shoppe Berhad berdepan cabaran ini walaupun bila berurusan dengan waris-waris sesetengah pelanggan kami yang memilih pakej komprehensif iaitu perkhidmatan di mana waris-waris tidak akan dikenakan sebarang caj perkhidmatan oleh kami bagi melalui proses perundangan menuntut harta pusaka.
Jika perkhidmatan yang diterima secara percuma oleh waris pun mereka sukar untuk bekerjasama kerana isu emosi, apatah lagi jika waris-waris diminta untuk membayar.
Untuk pengetahuan pembaca, di Malaysia secara purata caj pengurusan harta pusaka dikenakan sekitar 1 hingga 4% dari nilai harta pusaka tidak termasuk caj-caj lain seperti caj buka fail, caj guaman dan pelbagai caj lain.
Hanya Wasiyyah Shoppe Berhad sahaja yang menawarkan pakej perkhidmatan percuma ini.
Soalan yang pembaca perlu tanya diri sendiri, ada jaminan atau tidak isu emosi ini boleh diselesaikan dengan baik di kalangan waris-waris selepas kematian kita?
Jika Wasiyyah Shoppe Berhad sebuah syarikat amanah profesional yang berkecuali dan berpengalaman luas pun berdepan cabaran menguruskan emosi waris, bagaimana pula sesama waris ingin berkompromi?