Kementerian Ekonomi perlu baca artikel saya minggu ini! | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 20 September 2023
anekdot

KEMENTERIAN EKONOMI PERLU BACA ARTIKEL SAYA MINGGU INI !

 

 

 

ARTIKEL saya minggu ini terkait dengan apa yang saya tuliskan minggu lepas. Ramai rakan-rakan bertanya, adakah benar harta pusaka tertunggak banyak di Malaysia hari ini boleh menjadi modal bagi menjana ekonomi negara?

 

Jawapan saya ialah kenapa tidak? Sekiranya kita benar-benar fokus dan serius mencari penyelesaiannya maka pastilah ia boleh dibuat. Semenjak 1998 lagi saya sudah mengutarakan idea bagaimana harta pusaka boleh dijadikan modal ekonomi.

 

Namun saya mengambil pendirian seorang realistik dan bukannya idealistik dalam isu ini. Saya tahu dalam keadaan ekonomi  seperti hari ini, idea ini lebih mudah dicakapkan daripada dibuat!

 

ARTIKEL TERDAHULU: Bajet 2023: Apa kerajaan boleh buat untuk gembleng harta pusaka sebagai sumber ekonomI negara

 

Saya tahu betapa susahnya saya nak mengemukakan idea ini kepada pihak Kerajaan terutamanya kepada pembentuk polisi seperti Kementerian Ekonomi.

 

Ia isu panjang berbelit yang penuh dengan komplikasi hukum syarak, undang-undang dan emosi waris-waris. Jika Kementerian Ekonomi benar-benar mahu memahaminya, mereka kena duduk dengar penjelasan terperinci saya selama beberapa jam!

 

Saya juga faham bahawa keadaan politik yang sama gawat dengan keadaan ekonomi akan menyebabkan pembuat polisi yang terdiri dari ahli politik perlu fokus kepada isu-isu yang lebih menekan di depan mata berbanding perancangan masa depan seperti bagaimana harta pusaka boleh diguna untuk menggembleng ekonomi negara.

 

Kadang-kadang kasihan juga melihat Kerajaan dihentam kiri dan kanan, siang dan malam kerana wujudnya persepsi mereka gagal merangka polisi ekonomi yang benar-benar memberi kesan.

 

 

rafizi ramli
                MENTERI EKONOMI, RAFIZI RAMLI

 


Saya yakin Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan pegawai-pegawainya telah dan sedang berusaha bersungguh-sungguh mencari pelbagai penyelesaian kepada cabaran-cabaran ekonomi hari ini. 

 

Di dalam artikel saya minggu lepas, saya telah pun mengatakan bahawa harta pusaka ini adalah modal terbesar yang sebenarnya telah terhidang di depan mata kita tetapi tidak dilihat secara serius oleh semua pihak berkuasa di Malaysia.

 

Pembuat polisi sibuk untuk mencari formula-formula canggih yang akhirnya gagal dilaksanakan kerana tidak praktikal.  

 

Bayangkan jika masalah harta pusaka dapat diselesaikan bagi RM90 bilion nilai harta pusaka tertunggak itu dan ia disuntik semula ke dalam ekonomi, betapa berharga dan signifikannya dana sebesar itu.

 

Bayangkan jika tanah-tanah yang selama ini terbiar dipenuhi semak samun di kampung-kampung, jika dapat diusahakan untuk projek-projek pertanian bahan makanan seperti tanaman cili, serai, halia alangkah berharganya.  

 

Bayangkan juga jika tanah-tanah pusaka ini dapat digunakan bagi projek penternakan seperti ternakan lembu dan kambing, alangkah berpotensinya.

 

Bayangkan jika tanah-tanah berpotensi di Kampung Baru Kuala Lumpur yang selama ini berdepan masalah harta pusaka sehingga kelihatan seperti kawasan setinggan yang dikelilingi bangunan pencakar langit, jika dapat dibangunkan menjadi aset hartanah bernilai tinggi, bukankah waris-waris dan negara juga akan mendapat keuntungan?

 

Malaysia hari ini berdepan cabaran kerana perlu mengimport sehingga 70% dari keperluan bahan makanan dari negara luar. Bahan makanan ini sekarang terpaksa kita import kerana bekalan dalam negara tidak mencukupi.


 

irsyad

 


Apabila nilai mata wang ringgit merosot kerana tekanan ekonomi hari ini, harga barang makanan yang diimport ini juga meningkat sekaligus menyebabkan semua kos seperti makanan siap dimasak di kedai atau restoran juga meningkat.

 

Apabila keadaan ini berlaku, inflasi menjadi di luar kawalan. Masyarakat tertekan dan Kerajaan juga tertekan kerana dilihat gagal mengambil tindakan. Saya tahu Kerajaan melalui Kementerian Ekonomi memang telah ada cadangan untuk membangunkan projek-projek pertanian bahan makanan seperti ini bagi menampung keperluan negara.

 

Namun Kerajaan terpaksa mencari tanah milik Kerajaan Negeri yang terhad bagi tujuan ini sedangkan dalam masa yang sama kita ada mungkin ratusan ribu ekar tanah pusaka terbiar yang tidak diusahakan.

 

Sementara menunggu Kerajaan Persekutuan berunding dengan Kerajaan Negeri, sekiranya pihak swasta yang mempunyai pengalaman dan kemahiran seperti Wasiyyah Shoppe Berhad diberikan sokongan dan semua insentif berkenaan untuk menggerakkan usaha menyelesaikan masalah harta pusaka tertunggak RM90 bilion itu dan menggembleng semula harta pusaka bagi penjanaan ekonomi negara, ia pastinya akan menjadi satu inisiatif yang signifikan.

 

Saya faham Kerajaan juga berdepan dengan cabaran siapakah yang akan mengusahakan projek-projek ini. Penggantungan kita kepada pekerja asing bagi kerja-kerja 3D ini pun sangat tinggi.

 

Cadangan saya ialah waris-waris yang berminat boleh ditarik bagi menjadi pengusaha. Siswazah menganggur dan asnaf zakat juga boleh ditarik untuk terlibat di dalam usaha ini.

 

Kerajaan boleh memberikan mereka latihan vokasional yang bersesuaian serta sokongan seperti pemberian baja, benih dan modal pusingan bagi membolehkan mereka mengusahakan projek ini dengan  jayanya.   

 

Dalam masa yang sama, Kerajaan boleh fokus kepada usaha mewujudkan eko-sistem yang berdaya saing untuk industri asas tani sebegini supaya pendapatan lumayan dapat dijana oleh para peserta. Strategi seperti pewujudan pusat penjualan dan pengumpulan hasil tani setempat dapat memastikan hasil tani dapat dijual pada harga pasaran tanpa dimanipulasi orang tengah.   


 

WasiyyahShoppe

 


Namun seperti yang sebut dari awal artikel ini, saya hanya boleh memberikan pandangan sahaja. Walaupun saya ada idea, cadangan taktikal dan visi untuk menyelesaikan isu harta pusaka supaya ia boleh digunakan bagi tujuan penggemblengan ekonomi negara, suara ini mungkin tidak akan didengar Kerajaan.

 

Jika ada pembaca-pembaca artikel ini mempunyai rangkaian yang baik, mungkin boleh hantarkan artikel saya ini kepada Menteri Ekonomi. Saya bersedia membantu.

 

 

ariffinsabirinariffinsabirin

 KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

dagangnews
Portfolio Tags