ANIH Berhad jangka aliran trafik tinggi di Lebuhraya KL-Karak, LPT1 | DagangNews Skip to main content

ANIH Berhad jangka aliran trafik tinggi di Lebuhraya KL-Karak, LPT1

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Jan - Syarikat konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), ANIH Berhad menjangkakan jumlah aliran trafik yang tinggi sempena sambutan Tahun Baru Cina.

 

Pengurus Besar Kanannya, Radzimah Mohd. Radzi berkata, para pengguna lebuh raya merancang perjalanan ke Pantai Timur dinasihatkan merujuk cadangan jadual waktu perjalanan yang dikeluarkan syarikat konsesi tersebut.

 

Jelasnya, ANIH mengagihkan jadual waktu tersebut bersama 1,400 penutup muka sejak 25 Januari lalu di plaza tol sepanjang KLK dan LPT1 bagi memberikan maklumat awal kepada para pengguna. 

 

"Ini kerana syarikat menjangkakan jumlah trafik yang agak tinggi memandangkan inilah kali pertama sejak dua tahun lalu, masyarakat cina di Malaysia dibenarkan untuk merentas negeri bagi menyambut perayaan bersama keluarga tercinta”, katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut Radzimah, pihaknya meningkatkan kekerapan jadual sanitasi dan pembersihan semua kemudahan awam di hentian rehat dan rawat (R&R) dan hentian sebelah sepanjang lebuh raya. 

 

"Ini bagi memastikan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara demi menyokong usaha mengurangi penularan wabak COVID-19.

 

 

anih

 

 

"Semua pengguna jalan raya dinasihatkan untuk memastikan kenderaan mereka sentiasa dalam keadaan optimum serta mempunyai baki kad Touch N’ Go mencukupi sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan kesesakan di pusat tambah nilai," katanya.

anih

 

 

Katanya, para pengguna diingatkan untuk memandu dengan berhati-hati, menjaga jarak selamat kenderaan di lebuhraya dan berhenti rehat apabila perlu di mana-mana R&R dan hentian sebelah di sepanjang perjalanan mereka. - DagangNews.com