Anwar nafi miliki saham di Bursa minta tindakan wajar diambil | DagangNews Skip to main content

Anwar nafi miliki saham di Bursa minta tindakan wajar diambil

KUALA LUMPUR 12 Okt. - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) menafikan khabar angin yang mendakwa beliau mempunyai saham di kaunter-kaunter tertentu di Bursa Malaysia.

Menerusi sebuah kenyataan hari ini, beliau meminta Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk memantau dan mengambil tindakan sewajarnya. 

“Ingin ditegaskan bahawa saya tidak memiliki saham dalam mana-mana syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia. 

“Cakap-cakap yang mengaitkan nama saya dengan syarikat tertentu adalah palsu dan berniat menipu para pembeli saham.

“Saya meminta Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti untuk memantau dan mengambil tindakan sewajarnya agar pasaran saham tidak dimanipulasi oleh individu tertentu untuk mengaut keuntungan dengan menyebar khabar palsu,” katanya. 

Bagaimanapun, Anwar tidak mendedahkan kaunter saham yang didakwa melibatkan dirinya. 

Ketika laporan ditulis, Bursa Malaysia mahupun SC tidak mengeluarkan kenyataan berhubung isu berkenaan, berdasarkan semakan di laman web kedua-dua institusi berkenaan. 

Bursa Malaysia pada Jumaat lalu menyaksikan saham aktif melibatkan Advance Synergy Berhad diikuti oleh Malayan United Industries Berhad (MUI) dan Pan Malaysia Holdings Berhad, menurut laporan tempatan. 

Sebanyak 764 juta saham Advance Synergy dilaporkan didagangkan pada Jumaat lalu, manakala MUI dan Pan Malaysia Holdings pula masing-masing menyaksikan dagangan saham sebanyak 390 juta dan 223 juta. 

Menurut theedgemarkets.com, adik kepada Anwar, Farizon Ibrahim merupakan pengarah di MUI dan Pan Malaysia Holdings. 

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Advance Synergy, Datuk Ahmad Sebi Bakar pula didakwa mempunyai kaitan dengan Anwar, bagaimanapun tiada laporan terperinci yang didedahkan mengenai hubungan kedua-duanya. - DagangNews.com