AOne raih RM2 juta pelaburan menerusi Wavemaker | DagangNews Skip to main content

AOne raih RM2 juta pelaburan menerusi Wavemaker

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com


 

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Wabak COVID-19 tidak menghalang AOne meraih pelaburan berjumlah RM2juta menerusi Wavemaker Partners, sebuah syarikat pelaburan terkenal di Asia Tenggara yang lazimnya melabur dalam syarikat-syarikat pemula.

Menurut AOne dalam kenyataan, syarikat akan menggunakan pelaburan tersebut untuk meluaskan pasaran ke Asia Tenggara dan menaiktaraf produknya dalam sektor pendidikan

Katanya, ia akan mengambil masa antara 12 hingga 15 bulan akan datang. 

"Meskipun berhadapan dengan cabaran ekonomi akibat penularan wabak COVID-19, kami berjaya meraih keyakinan pelabur. 

"Dengan inisiatif dan bantuan kerajaan Malaysia dalam menggalakkan operasi digital dalam kalangan perniagaan kecil dan sederhana (PKS), AOne berjaya meneruskan perkembangan yang mampan," katanya hari ini. 

Pengasas syarikat AOne, Dr. Darren Gouk
Pengasas syarikat AOne, Dr. Darren Gouk
 

AOne merupakan syarikat edu-tech yang menyediakan ‘B2C marketplace’ dan sistem pengurusan ‘B2B’ bagi membantu pusat pembelajaran di seluruh Asia Tenggara dalam pengurusan akademik dan pentadbiran secara menyeluruh. 

Antara produk mereka, AOneSchools membantu pusat pembelajaran seperti pusat tuisyen, tadika dan taska dalam pengurusan maklumat pelajar dan sekolah secara automatik dan sistematik. 

Kini, terdapat sebanyak 800 pusat pembelajaran yang menggunakan perkhidmatan AOne dalam pengurusan operasi harian mereka, merangkumi 50,000 kelas dan lebih daripada 100,000 orang pelajar dan pendidik di seluruh Asia yang majoritinya bertempat di Malaysia dan Singapura. 

April lalu, AOne menerima pelaburan daripada ScaleUp Ventures Malaysia sebagai salah satu syarikat yang tersenarai dalam ‘Top 10’ dalam program ScaleUp Accelerator. 

Malah, syarikat itu juga memperolehi geran berjumlah RM300 ribu daripada Cradle Fund Sdn. Bhd., sebuah agensi kerajaan yang membantu syarikat-syarikat pemula khasnya dalam bidang teknologi.

Sementara itu, pengusaha tadika dan taska, Gifted-Child Group di Kuching, Sarawak, Jenny Jee berkata, mereka telah mengendalikan operasi secara digital dengan penggunaan sistem AOne semasa pelaksanaan perintah kawapan pergerakan (PKP). 

"Sistem ini telah mendapat maklum balas positif daripada ibu bapa serta kakitangan, khususnya dari segi pembayaran yuran atas talian," katanya. - DagangNews.com.