AP untuk komoditi agromakanan tertentu mansuh, masih berkuat kuasa bagi beras | DagangNews Skip to main content

AP untuk komoditi agromakanan tertentu mansuh, masih berkuat kuasa bagi beras

PUTRAJAYA 19 Mei - Approved Permit (AP) iaitu kelulusan kuota import dan kebenaran mengimport bagi komoditi agromakanan tertentu seperti kubis bulat, kelapa tua biji, ayam (keratan ayam dan ayam bulat) dan susu cair tidak lagi dikenakan, berkuat kuasa serta merta, kata Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

 

Ia susulan keputusan pemansuhan AP yang diputuskan Jemaah Menteri dan selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

 

MAFI dalam satu kenyataan hari ini bagaimanapun berkata, AP untuk pengimportan beras masih lagi berkuatkuasa.

 

Dengan pemansuhan AP itu, MAFI berkata, semua syarikat dibenarkan mengimport semua komoditi agromakanan, tertakluk kepada Import Permit (IP) yangcdikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), beserta syarat-syarat yang tertulis dalam permit.

 

MAFI berkata, walaupun AP tidak lagi diperlukan untuk membawa masuk komoditi agromakanan dari luar negara, pengimport masih perlu mempunyai IP bagi tujuan kawalan biosekuriti di pintu-pintu masuk negara.

 

“Ini untuk memastikan kawalan biosekuriti dan produk yang diimport adalah bebas daripada penyakit dan perosak, serta diperoleh daripada loji yang diiktiraf oleh kerajaan,” katanya.

 

Ismail Sabri semalam mengumumkan tiada lagi AP dikenakan bagi mengimport bahan makanan berkuatkuasa serta merta, di mana keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikannya, bagi memastikan bekalan makanan negara mencukupi.

 

MAFI berkata, ia akan terus memainkan peranan penting, bagi memastikan kelangsungan sektor agromakanan di setiap peringkat rantaian makanan dan supaya rakyat terus mendapat bekalan makanan yang mencukupi, selamat dimakan serta berkhasiat, menurut Bernama.

 

“Pada masa yang sama, kebajikan pengeluar makanan tempatan juga akan terus dipelihara,” katanya. - DagangNews.com