Apa anda perlu tahu tentang Proklamasi Darurat? | DagangNews Skip to main content

Apa anda perlu tahu tentang Proklamasi Darurat?

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dumumkan semalam, rakyat Malaysia sekali lagi perlu ‘menghadam’ Proklamasi Darurat yang diutuskan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi. 

 

Pengisytiharan ini sudah tentu memberikan kejutan besar buat negara terutamanya rakyat yang ingin mengetahui apakah kesannya ke atas aktiviti ekonomi, kehidupan dan pentadbiran negara selepas ini. 

 

Berdasarkan pengumuman yang dibuat oleh Muhyiddin sebentar tadi, beliau memberikan penjelasan lebih lanjut mengenai bentuk darurat yang berkuatkuasa di negara ini.

 

Katanya, darurat yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong bukan satu bentuk rampasan kuasa tentera, malah perintah berkurung juga tidak akan dilaksanakan. 

 

Sebaliknya, sepanjang tempoh darurat ini, kerajaan awam akan terus berfungsi. 

 

Oleh itu, ini 16 perkara yang akan berlaku sepanjang tempoh Proklamasi Darurat.

 

1) Dari segi pentadbiran kerajaan, Jemaah Menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan terus berfungsi menurut Perlembagaan Persekutuan dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong dari semasa ke semasa. 

 

2) Yang di-Pertuan Agong boleh memasyhurkan apa-apa ordinan yang perlu mengikut hal keadaan semasa sekiranya baginda berpuas hati bahawa ada hal-hal keadaan tertentu yang menyebabkan perlu baginya mengambil tindakan serta-merta.

 

3) Ordinan Darurat boleh dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi tujuan membendung wabak COVID-19 termasuk penggunaan aset hospital swasta, pengambil milikan sementara tanah, bangunan atau harta alih hospital swasta atau membuat permintaan untuk penggunaan sumber hospital swasta bagi tujuan merawat pesakit COVID-19.

 

4) Kerajaan boleh mendapatkan penglibatan pihak swasta termasuk kemudahan penjagaan kesihatan swasta dan bantuan yang boleh diperolehi daripada pihak swasta meliputi sumber manusia, kepakaran, fasiliti, aset, makmal ujian dan utiliti. 

 

5) Suatu ordinan boleh dimasyhurkan untuk memperuntukkan kuasa penguatkuasaan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain kuasa yang sedia ada, mengikut kuasa-kuasa yang diperuntukkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Kanun Tatacara Jenayah atau mana-mana undang-undang penguatkuasaan lain yang berkaitan. 

 

6) ATM juga akan diperuntukkan kuasa untuk membantu melaksanakan fungsi-fungsi berhubung dengan kesihatan awam dan fungsi-fungsi yang dijalankan oleh pegawai awam yang berkaitan semasa pandemik ini. 

 

7) Aspek kawalan sempadan negara juga akan diperketatkan dengan memberi kuasa kepada anggota tentera selain polis dan imigresen untuk menangkap pendatang asing tanpa izin (PATI) dan sesiapa sahaja yang menceroboh sempadan negara.

 

8) Ordinan juga boleh dimasyhurkan untuk meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dalam membendung penularan COVID-19. Ini termasuk meningkatkan penalti atau hukuman ke atas sesiapa yang melanggar undang-undang dan peraturan berkaitan pengawalan wabak COVID-19.

 

9) Ordinan-ordinan yang bertujuan untuk memerangi sabotaj ekonomi, monopoli dan kenaikan harga barang secara keterlaluan dalam masa pandemik juga boleh dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong. Tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas dan hukuman yang lebih berat boleh dikenakan untuk tujuan ini.

 

10) Semua ordinan yang dimasyhurkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan diwartakan dan boleh diketahui oleh rakyat. 

 

11)  Kuasa eksekutif Persekutuan akan meliputi apa-apa perkara dalam kuasa perundangan negeri kecuali bagi apa-apa perkara hukum Syarak atau adat Melayu atau mengenai apa-apa perkara undang-undang atau adat anak negeri di Sabah atau Sarawak, agama, kewarganegaraan dan bahasa, selaras dengan Fasal 6A Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

 

12) Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak akan bersidang sehingga suatu masa yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong

 

13) Pilihan Raya Umum, Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Kecil tidak akan diadakan.

 

14) Sebuah Jawatankuasa Bebas ditubuhkan untuk nasihatkan Yang di-Pertuang Agong sama ada darurat besar masih berlaku untuk meneruskan atau menamatkan darurat lebih awal.

 

15) Aktiviti ekonomi akan terus berfungsi, tidak akan terhenti agar rakyat mampu terus bekerja dan perniagaan perdagangan dan industri dapat terus beroperasi

 

16) Badan kehakiman akan terus berfungsi untuk menegakkan hukuman dan keadilan.

 

Dalam kenyataan dikeluarkan Istana Negara hari ini, baginda perkenan untuk tempoh darurat itu dilaksanakan sehingga 1 Ogos 2021 atau suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan. - DagangNews.com