Skip to main content

Apa jadi bila Trump-Xi ‘berjumpa’ di APEC malam ini?

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Malam ini bakal berlangsung Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin APEC (AELM) 2020 secara maya untuk berbincang hala tuju ekonomi Asia Pasifik ketika penularan COVID-19.

 

Dalam mesyuarat berkenaan, kedua-dua ekonomi terbesar dunia iaitu Amerika Syarikat (AS) dan China  turut terlibat. 

 

Donald Trump yang 'terlepas' jawatan sebagai Presiden AS kepada Joe Biden difahamkan bakal mewakili negara itu pada mesyuarat malam ini. 

 

Apa akan terjadi apabila Trump ‘berjumpa’ dengan Presiden China, Xi Jinping?

 

Kesemua  21 ekonomi APEC bakal menjadi saksi kepada ‘pertemuan maya’ oleh kedua-dua pemegang ekonomi dunia itu yang sememangnya diketahui tegang. 

 

Mengimbas tahun 2018, sidang kemuncak APEC pertama kali tidak mencapai kata sepakat berhubung haluan perdagangan dan pelaburan disebabkan oleh ‘pertelagahan’ kedua-dua negara itu. 

 

Jadi, malam ini menjadi tanda tanya sejauh mana perbincangan antara kesemua pemimpin ekonomi APEC dapat mencapai objektif-objektif ditetapkan daripada mengulangi kejadian APEC 2018. 

 

Sebelum tibanya mesyuarat malam ini, beberapa pemimpin APEC menyeru untuk mencapai fahaman pelindungan (protectionism) setelah ekonomi dunia menerima cabaran hebat akibat penularan pandemik itu. 

 

Ini termasuk Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern pada awal pagi tadi menzahirkan hasrat supaya Wawasan Pasca 2020 yang bakal menggantikan Matlamat Bogor dapat dicapai. 

 

Tidak ketinggalan, Perdana Menteri Jepun,Yoshihide Suga yang mahu merealisasikan Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP) menerusi rumusan awal perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

 

Ini termasuk pelaksanaan dan pengembangan stabil Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) sebagai pengerusi pada tahun hadapan.

 

Tetapi, Trump sebelum ini menarik penyertaan AS keluar daripada Perjanjian Perdagangan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), yang merupakan pendahulu kepada CPTPP.

 

Presiden China ketika berucap dalam APEC CEO Dialogues 2020 semalam menegaskan masyarakat antarabangsa harus bekerjasama dengan rapat untuk mengharungi krisis akibat penularan COVID-19. 

 

“Unilateralisme (dasar atau prinsip yang membolehkan satu pihak sahaja) yang meningkat, fahaman perlindungan dan pembulian serta tindak balas terhadap globalisasi ekonomi telah menambah risiko serta ketidaktentuan dalam ekonomi dunia,” katanya.

 

Difahamkan, satu-satunya perjumpaan APEC yang menerima kehadiran Trump adalah pada tahun 2017.

 

Malah, Trump yang dimaklumkan bakal menyampaikan ucapan 'The Future of Trade' dalam APEC CEO Dialogues 2020 pada pagi tadi juga 'tidak muncul', dan slot itu dibiarkan kosong. - DagangNews.com