Benarkah kewangan negara bermasalah? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 26 February 2022

BENARKAH KEWANGAN NEGARA BERMASALAH?

Sin Chew Jit Poh, 23 Feb 2022

 

 


BARU-BARU ini Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa melancarkan jentera kempen pilihan raya PN Johor mendedahkan kewangan negara sedang menghadapi krisis sehinggakan Indonesia dan Vietnam kini telah mendahului negara kita.

 

Bagaimanapun kenyataan Muhyiddin tidak dipandang serius sebaliknya dilihat sebagai serangan politik terhadap UMNO.

 

Pemuda UMNO telah membuat laporan polis dan mendakwa Muhyiddin tidak mempunyai hak untuk memegang dokumen rahsia.

 

Dalam hal ini Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz menegaskan bahawa beliau tidak menyembunyikan sebarang fakta mengenai ekonomi negara. Kandungan laporan yang diserahkan kepada Muhyiddin adalah sama yang diterima oleh menteri-menteri kabinet dan orang ramai. 

 

Rakyat berhak untuk mengetahui situasi kewangan negara

Adakah keadaannya sepertimana yang dibimbangkan oleh Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu? Adakah kewangan masih mampu untuk memajukan pembangunan negara, membayar gaji dan pencen penjawat awam?

 

Ini bukan kali pertama Muhyiddin menegaskan keadaan kewangan negara bermasalah. Semasa masih memegang jawatan PM pada April tahun lepas, beliau mendedahkan kerajaan telah membelanjakan lebih RM600 bilion untuk wabak COVID-19, dan kini perbendaharaan negara sudah tidak banyak wang. 

 

Sebenarnya masalah kewangan negara bermula apabila berlakunya krisis kewangan 1997, waktu itu negara menghadapi kemelesetan ekonomi yang terburuk dalam sejarah. Kerajaan telah melaksanakan dasar fiskal mengembang untuk memulihkan semula ekonomi. Selepas tahun 1998, bajet telah bertukar menjadi defisit dan sejak itu selama 20 tahun hasil perbendaharaan negara tidak dapat menampung perbelanjaan, hanya mampu meminjam. 


 

KL

 


Selama 20 tahun kewangan negara tidak bertambah baik, tambahan pula dengan perbelanjaan yang semakin meningkat telah menyebabkan ‘hutang dan liabiliti’ kerajaan mencecah dianggarkan RM1,261.7 trilion pada tahun 2020.

 

Oleh kerana setakat September tahun lepas, sejumlah RM60 bilion telah dibelanjakan dengan baki siling adalah berjumlah RM5 bilion sahaja. Justeru itu, pada Oktober Parlimen telah meluluskan pindaan akta supaya had statutori hutang rakyat Malaysia terpaksa memikul beban hutang kira-kira RM30,000 setiap seorang. 

 

Kerajaan dibelenggu dengan masalah hutang 1MDB yang belum lagi selesai, pandemik COVID-19 yang melanda sehingga  kerajaan terpaksa melaksanakan ‘lockdown’ telah menyebabkan ramai golongan berpendapatan sederhana dan rendah serta perusahaan kecil dan sederhana terperangkap. Kemudiannya, kerajaan telah melancarkan lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi yang bernilai RM530 bilion. 

 

Selain itu,  bagi meringan tekanan hidup rakyat akbibat inflasi, kerajaan memperuntukkan RM130 juta sebulan kepada penternak ayam bagi mengurangkan harga ayam dan telur. Bagi menangani isu doktor kontrak pula, sepanjang tahun 2022 sehingga 2025 dijangkakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan peruntukan tambahan sebanyak   RM3.5 bilion bagi menyediakan 11 ribu perjawatan tetap.

 

Masalah kewangan negara menjadi bertambah buruk dengan pelbagai perbelanjaan tambahan, jadi pelan penyelesaian perlu dirangka untuk mengurangkan hutang negara.

 

Tengku Zafrul baru-baru ini ada menulis sebuah artikel bertanya, bagaimana keadaan Malaysia yang ingin kita wariskan kepada anak cucu kita nanti? Kita perlu memastikan kemampanan fiskal agar generasi akan datang boleh mewarisi negara tanpa beban hutang yang serius. Jelas sekali, menteri kewangan itu tahu ada sesuatu yang tidak kena dengan ekonomi negara.

 

Dan kerana itu juga beliau memberi peringatan bahawa negara kini berada di persimpangan kritikal, jalan untuk mencapai matlamat negara maju dan berpendapat tinggi kini berdepan dengan onak dan duri. 

 

Sementara itu, Muhyiddin menegaskan bahawa keadaan kewangan negara yang lemah bukan gembar gembur pilihan raya. Jika sumber baharu tidak dibangunkan dan reformasi fiskal tidak dilaksanakan, negara mungkin tidak mampu membayar semula hutangnya pada masa hadapan. 


 

KL

 


Peruntukan Bajet 2022 sebanyak RM332.1 bilion adalah nilai peruntukan yang paling tinggi dalam sejarah negara. Sebanyak RM233.5 bilion atau 70.3% adalah untuk belanja mengurus, meningkat sebanyak 6.3% tahun ke tahun. Antaranya, perbelanjaan pencen penjawat awam daripada RM9.88 bilion pada 2010 meningkat kepada RM26.38 bilion pada tahun 2020 dan dianggarkan mencecah RM46.6 bilion pada 2030, jumlah besar ini akan memakan sumber negara.

 

Di masa hadapan, ekonomi negara akan terus berdepan dengan pelbagai cabaran. Selain varian Omicron yang sedang menyerang, kenaikan harga minyak juga akan menjejaskan kewangan kerajaan kerana lebih banyak subsidi bahan api perlu diperuntukkan, mungkin meningkat ke paras RM24 bilion.

 

Selain itu, tindakan Presiden Russia, Vladimir Putin menghantar tentera ke timur Ukraine menyebabkan negara-negara barat untuk mengadakan sekatan. Keadaan ini akan memburukkan lagi krisis rantaian pembuatan global dan meningkatkan inflasi. 

 

Sekiranya Rizab Persekutuan AS (FED) menaikkan kadar faedah pada bulan Mac, lebih banyak negara akan mengikutinya. Jika Malaysia tidak menaikkan kadar faedah, ringgit akan berada di bawah tekanan yang akan meningkatkan lagi inflasi import. Namun memilih untuk menaikkan kadar faedah pula, nescaya ekonomi yang masih dalam pemulihan akan terjejas. 

 

Dengan peningkatan populasi penduduk yang semakin tua, hutang isi rumah yang melambung tinggi dan pengeluaran sebanyak RM101 bilion caruman ahli Kumpulan Wang Simpanan Nasional (KWSP), andai kata bencana sekali lagi melanda, pasti keadaan ekonomi negara akan terjejas teruk. 

 

Negara jiran kita seperti Indonesia sedang giat memperomosikan pembaharuan, begitu juga dengan Vietnam sedang berusaha melakukan pembaharuan dan keterbukaan. Sebaliknya pembaharuan Malaysia hanya berputar setempat.

 

Bermula dengan wawasan negara maju, kepada tranformasi ekonomi dan kini ke arah Wawasan Kemakmuran Bersama 2023. Namun kita masih tidak dapat melepaskan diri daripada perangkap ekonomi berpendapatan sederhana. 

 

Hari ini tumpuan kita diberikan kepada Pilihan Raya Negeri Johor dan isu kewangan negara sekali lagi dilupakan. Tetapi ia sentiasa ada dan tiada siapa yang boleh melarikan diri daripadanya. - DagangNews.com

 

 

Artikel-artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh, 23 Feb 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

Portfolio Tags